3 lelaki ditangkap ceroboh perairan SG
Tiga lelaki diberkas Polis Pengawal Pantai kerana memasuki perairan Singapura secara haram, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (19 Apr).
Kapal peronda Polis Pengawal Pantai. (Gambar fail: CNA/Gaya Chandramohan)
SPF menyatakan bahawa sekitar pukul 2.05 petang pada Jumaat, pegawai pengawal pantai mengesan sebuah sampan yang tidak dikenali semasa rondaan di perairan berhampiran Pulau Sarimbun, sebuah pulau di barat laut Singapura.
Apabila pegawai menghampiri sampan tersebut, ia memecut ke arah Malaysia.
Pegawai pengawal pantai kemudian mengejar sampan terbabit, yang melakukan “beberapa gerakan berbahaya”, menurut SPF.
Semasa dikejar dalam perairan wilayah Singapura, dua lelaki terjatuh ke laut, namun mereka berjaya naik semula ke sampan.
Sampan tersebut juga melanggar kapal pengawal pantai sebanyak dua kali sebelum ia dapat dihentikan, tambah polis.
Seorang pegawai pengawal pantai mengalami kecederaan ringan semasa kejadian kejar-mengejar tersebut.
Ketiga-tiga lelaki terbabit, berusia antara 28 hingga 47 tahun, merupakan warga Malaysia.
Mereka ditangkap di atas sampan berkenaan atas kesalahan memasuki Singapura secara haram. Sampan mereka turut dirampas.
Pengemudi sampan berusia 28 tahun itu juga akan disiasat kerana mengemudi dengan berbahaya dan gagal mematuhi arahan untuk berhenti.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.