3 lelaki disyaki anggota kongsi gelap didakwa tidak pakai pelitup semasa perarakan persemadian
Tiga lelaki didakwa di mahkamah pada Khamis (20 Jan) kerana tidak memakai pelitup semasa perarakan persemadian Cina di Havelock Road pada tahun lalu.

Petikan gambar daripada sebuah video yang menunjukkan insiden tersebut. (Gambar: SG Chinese Community/Facebook)
SINGAPURA: Tiga lelaki didakwa di mahkamah pada Khamis (20 Jan) kerana tidak memakai pelitup semasa perarakan persemadian Cina di Havelock Road pada tahun lalu.
Ketiga-tiga lelaki itu juga didakwa menjadi anggota kongsi gelap, selepas video yang dimuat naik menunjukkan slogan geng kongsi gelap dilaungkan semasa perarakan tersebut.
Mereka dituduh tidak memakai pelitup sebanyak dua kali pada 26 Mei tahun lalu, semasa berjaga di Blok 50A Commonwealth Drive dan sekali lagi semasa perarakan persemadian.
Young Chin Peng, 63 tahun, dikenakan dua tuduhan kerana gagal memakai pelitup dan empat tuduhan kerana menjadi anggota kongsi gelap.
Dia dituduh menjadi anggota kongsi gelap antara 1972 hingga Mei 2021.
Chua Yong Han Adrian, 46 tahun, dikenakan lima tuduhan kerana gagal memakai pelitup dan menjadi anggota kumpulan haram yang sama antara 1997 hingga Mei 2021.
Chiau Chee Meng, 53 tahun, dikenakan enam tuduhan kerana gagal memakai pelitup dan menjadi anggota kongsi gelap antara Januari 1994 hingga Mei 2021.
Ketiga-tiga lelaki itu berhasrat untuk mengaku bersalah dan diberi tarikh untuk berbuat demikian bulan depan.
Polis dalam satu kenyataan berkata, pegawainya menyiasat lelaki berkenaan kerana didakwa melaungkan slogan kongsi gelap semasa perarakan persemadian.
Polis menyatakan mereka "mengambil pendirian tegas terhadap aktiviti kongsi gelap", dan menasihatkan orang ramai "supaya mengambil langkah pengurusan selamat sedia ada dengan serius".
Sesiapa yang menjadi anggota kumpulan kongsi gelap boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Hukuman bagi mereka yang tidak memakai pelitup ialah penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya, bagi pesalah kali pertama. Hukuman maksimum digandakan untuk pesalah berulang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.