Skip to main content

Singapura

3 lelaki disiasat, didakwa lempar kata kesat terhadap pegawai penguat kuasa jarak selamat

Tiga lelaki disiasat dalam kes berasingan kerana didakwa menghamburkan kata-kata kesat terhadap pegawai penguat kuasa jarak selamat, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (11 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki disiasat, didakwa lempar kata kesat terhadap pegawai penguat kuasa jarak selamat

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 11 Aug 2021 09:33PM Dikemas Kini : 11 Aug 2021 09:35PM

SINGAPURA: Tiga lelaki disiasat dalam kes berasingan kerana didakwa menghamburkan kata-kata kesat terhadap pegawai penguat kuasa jarak selamat, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (11 Ogos).

Pegawai dari Agensi Sekitaran Kebangsaan itu sedang memastikan orang ramai mematuhi langkah jarak selamat COVID-19, menurut SPF dalam satu kenyataan.

Dalam satu kejadian pada 18 Jul, polis menerima panggilan meminta bantuan daripada seorang pegawai penguat kuasa bahawa seorang lelaki berusia 36 tahun melemparkan kata-kata kesat terhadapnya ketika beliau sedang menjalankan tugas di Pusat Makanan Newton.

Pegawai itu telah menghampiri lelaki tersebut dan tiga kawannya untuk menasihatkan mereka supaya berhenti minum minuman keras kerana sudah lepas pukul 10.30 malam.

Di bawah peraturan COVID-19, minuman keras tidak dibenarkan dihidang atau diminum di premis-premis makanan dan minuman selepas pukul 10.30 malam.

"Lelaki itu bukan sahaja tidak mematuhi nasihatnya, tetapi didakwa melemparkan kata-kata kesat ke arahnya," menurut polis.

Lelaki itu kini membantu dalam siasatan kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai awam dan kemungkinan melanggar Akta Kawalan Minuman Keras (Bekalan dan Pengambilan).

Dalam satu kejadian berasingan pada hari yang sama di Pusat Makanan Newton, polis menerima panggilan daripada seorang pegawai penguat kuasa bahawa seorang lelaki berusia 41 tahun memaki hamunnya ketika beliau sedang menjalankan tugas.

Pegawai itu telah menghampiri lelaki berkenaan dan lima kawannya untuk menegur mereka supaya bersurai kerana kumpulan mereka dipercayai melebihi saiz kumpulan yang dibenarkan bagi perhimpunan sosial semasa tempoh itu.

Individu yang sudah lengkap divaksinasi pada ketika itu dibenarkan makan di premis F&B dalam kumpulan sehingga lima orang.

Lelaki berusia 41 tahun itu sebaliknya didakwa melempar kata-kata kesat ke pegawai tersebut.

"Lelaki berusia 41 tahun itu kini sedang membantu dalam siasatan kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam," menurut SPF sambil menambah bahawa lelaki berkenaan betrsama lima rakannya juga disiasat kerana melanggar langkah COVID-19.

Dalam satu kejadian pada 21 Julai pula, seorang lelaki 58 tahun didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai penguat kuasa di Pasar dan Pusat Makanan Haig Road.

Pegawai itu telah mendekati lelaki berkenaan lalu menasihatinya supaya henti minum bir. Lelaki itu juga disuruh memakai pelitup dan meninggalkan premis pusat makanan tersebut kerana ia ditutup bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh, menurut polis.

Namun, lelaki itu tidak mematuhi arahan dan sebaliknya melemparkan kata-kata kesat terhadap pegawai penguat kuasa itu.

"Lelaki berusia 58 tahun itu kini sedang membantu dalam siasatan kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam," menurut SPF.

Polis menyatakan mereka memandang serius tindakan kasar terhadap pegawai penguat kuasa dan pesalah akan ditangani mengikut undang-undang.

Orang ramai juga dinasihatkan agar mengambil serius langkah jarak selamat.

Mereka yang didapati bersalah melemparkan kata-kata kesat terhadap pegawai awam boleh didenda sehingga S$5,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Mereka yang sabit kesalahan melanggar peraturan COVID-19 boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita