3 lelaki dijel, didenda kerana bergelut dengan polis semasa Thaipusam
Ketiga-tiga lelaki yang bergelut dengan polis semasa perarakan Thaipusam pada 2015 dikenakan denda yang berat dan salah seorang daripada mereka turut dijatuhi hukuman penjara hari ini (15 Mac).
Ramachandra Chandramohan, Jaya Kumar Krishnasamy dan Gunasegaran Rajendran.
SINGAPURA: Ketiga-tiga lelaki yang bergelut dengan polis semasa perarakan Thaipusam pada 2015 dikenakan denda yang berat dan salah seorang daripada mereka turut dijatuhi hukuman penjara hari ini (15 Mac).
Ramachandra Chandramohan, 35 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan seminggu serta didenda S$8,000.
Peniaga itu didapati bersalah atas tujuh tuduhan bulan lalu - tiga kerana menyerang tiga pegawai polis, dua kerana memaki hamun seorang pegawai polis, satu tuduhan kerana berkelakuan tidak senonoh dan satu lagi kerana menghina agama seorang pegawai polis Muslim.
Daripada membayar denda, dia memilih untuk menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga minggu dan lima hari.
Pengurus operasi Jaya Kumar Krishnasamy, 31 tahun, pula didenda S$8,500. Sementara lelaki ketiga, seorang pegawai keselamatan, Gunasegaran Rajendran, 36 tahun, didenda S$8,000.
Ketiga-tiganya bergelut dengan para pegawai polis pada 3 Februari 2015 apabila para pegawai menghentikan sebuah kumpulan urumi, iaitu sejenis gendang tradisional India, daripada menyertai perarakan tersebut.
Lelaki-lelaki itu mengupah kumpulan tersebut untuk menyertai perarakan meskipun alat muzik diharamkan daripada perarakan Thaipusam.
Walaupun ia kelihatan seolah-olah Ramachandra menyerang pegawai polis, dia bertegas bahawa tindakannya itu "berdasarkan cara pihak berkuasa mendampingi mereka, cara pihak berkuasa menangani mereka dan cara para pegawai polis bercakap dengan mereka".
Gunasegaran pula menarik perhatian bahawa interaksi dengan polis sebelum berlakunya pergelutan itu tidak dirakam dalam video-video yang ditunjukkan di mahkamah.
Namun, semasa menjatuhkan hukuman bulan lalu, hakim mendapati bahawa para pegawai yang terbabit tidak menggunakan kekerasan mahupun bertindak dengan cara yang tidak profesional.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.