3 lelaki dijangka mengaku bersalah kerana berkayak ke Pulau Ubin semasa 'circuit breaker'
Semasa tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19, di mana semua orang digesa supaya duduk di rumah untuk membendung penularan COVID-19, tiga lelaki dipercayai berkayak dari Taman Pasir Ris ke Pulau Ubin di mana mereka memancing dan berkhemah di pulau tersebut.

(Dari kiri) Rizani Sham Mohamed Hussin, Zulman B Mashonain dan Mohamed Hafiz Mat Nadar di luar Mahkamah Negara pada Isnin (18 Mei). (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Semasa tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19, di mana semua orang digesa supaya duduk di rumah untuk membendung penularan COVID-19, tiga lelaki dipercayai berkayak dari Taman Pasir Ris ke Pulau Ubin di mana mereka memancing dan berkhemah di pulau tersebut.
Ketiga-tiga lelaki itu didakwa dengan pelbagai tuduhan pada Isnin (18 Mei) dan mereka merancang untuk mengaku bersalah pada bulan depan.
Rizani Sham Mohamed Hussin dan Zulman B Mashonain, kedua-duanya berusia 38 tahun, masing-masing berdepan dengan lapan tuduhan di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) dan Peraturan Taman dan Pokok, sementara Mohamed Hafiz Mat Nadar, 36 tahun, berdepan dengan tujuh tuduhan serupa.
Menurut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu meninggalkan rumah masing-masing di Buangkok dan Tampines pada petang 13 April untuk berkayak, memancing dan berkhemah.
Mereka dipercayai bertemu di Tempat Letak Kereta E di Taman Pasir Ris untuk tujuan sosial, satu kegiatan yang melanggar undang-undang COVID-19.
Sekitar selepas 7.00 malam, mereka memasuki Zon Taman Tanah Paya Chek Jawa di Pulau Ubin menggunakan kayak, menurut kertas pertuduhan itu. Kawasan itu diisytiharkan sebagai "Zon Tidak Dibenarkan Masuk" dan ditutup kepada semua kenderaan laut dan orang ramai sejak Oktober 2007 kecuali diluluskan oleh Lembaga Taman Negara (NParks).
Ketika berada di sana, mereka memasang buaian (hammock) pada pokok-pokok, memasang khemah dan menyalakan unggun api. Semua perbuatan itu melanggar Peraturan Taman dan Pokok.
Dari 7.00 pagi pada 13 April hingga 10.00 pagi pada 14 April, ketiga-tiga lelaki itu berkhemah di Taman Tanah Paya Chek Jawa tanpa permit di kawasan yang tidak dibenarkan berkhemah, menurut dokumen mahkamah.
Zulman dan Rizani juga dituduh menggunakan perangkap dalam bentuk joran untuk menangkap ikan di taman itu.
Bercakap bagi pihak ketiga-tiga lelaki itu, Rizani memberitahu mahkamah bahawa mereka merancang untuk mengaku bersalah atas semua tuduhan dan meminta pihak mahkamah supaya meringankan hukuman.
"(Saya) ditahan oleh seorang pegawai NParks dan diberitahu bahawa memancing tidak dibenarkan tetapi kami memberitahunya bahawa kami pergi ke Pulau Ubin untuk melakukan kegiatan-kegiatan berkenaan," katanya. "Justeru, beliau tidak menasihati lebih lanjut. Jika beliau berbuat demikian, kami mungkin membatalkan kegiatan-kegiatan tersebut."
Dia menambah bahawa mereka "tidak melihat sebarang papan tanda" yang melarang kegiatan seumpama itu dan dia juga mendakwa laman web NParks tidak menyatakan sedemikian.
Bagi setiap kesalahan di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) yang dikuatkuasakan tahun ini, perbuatan keluar rumah tanpa alasan yang munasabah untuk bertemu orang lain atas tujuan sosial, ketiga-tiga tertuduh boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Bagi setiap kesalahan di bawah Peraturan Taman dan Pokok, mereka boleh didenda sehingga S$2,000.
Zulman dan Rizani juga boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 kerana memancing di Chek Jawa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.