3 lelaki dihukum penjara kerana sogok pegawai kedutaan Indonesia
Tiga warga Singapura yang memberi rasuah kepada seorang pegawai kedutaan Indonesia tiga tahun lalu dihukum penjara pada Isnin (23 Ogos), menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan.

Abdul Aziz Mohamed Hanib (kiri) dan Benjamin Chow Tuck Keong di Mahkamah Negara pada 21 Nov 2018. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)
SINGAPURA: Tiga warga Singapura yang memberi rasuah kepada seorang pegawai kedutaan Indonesia tiga tahun lalu dihukum penjara pada Isnin (23 Ogos), menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan.
Kes tersebut melibatkan bon prestasi S$6,000, diwajibkan oleh kedutaan Indonesia di Singapura pada 2018 ke atas semua majikan yang mengambil pembantu rumah dari Indonesia.
Agus Ramdhany Machjumi, kakitangan buruh di kedutaan tersebut pada ketika itu, bertanggungjawab dalam mengeluarkan pentauliahan kepada syarikat insurans bagi bon berkenaan.
Agus memberitahu Abdul Aziz Mohamed Hanib, 66 tahun, untuk mencari syarikat atau ejen insurans yang boleh memberi mereka sebahagian bayaran daripada premium yang diperolehi sebagai pertukaran bagi pentauliahan.
Aziz, seorang penterjemah bebas, kemudian menarik James Yeo Siew Liang, 50 tahun, yang bertugas sebagai ejen insurans bagi AIG Asia Pacific Insurance dan Liberty Insurance.
Melalui Aziz, Yeo memberi wang suapan berjumlah S$71,211 kepada Agus antara Mac hingga Jun 2018 sebagai ganjaran bagi memberi pentauliahan kepada AIG serta Liberty untuk menjual bon-bon prestasi itu.
Yeo juga memberi Aziz sekitar S$21,363.30 kerana mengaturkan urusannya bersama Agus.
Aziz juga didapati cuba mendapatkan seorang lagi individu menyertai skim itu supaya Agus boleh mentauliahkan Tokio Marine Insurance Singapore. Namun, individu berkenaan menolak tawaran tersebut.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 17 bulan dan denda S$18,299.82 kepada Aziz pada Isnin.
Yeo dijatuhi hukuman 15 bulan penjara dan didenda S$21,363.30.
Lelaki ketiga, Benjamin Chow Tuck Keong, 58 tahun, yang memperkenalkan Aziz kepada Yeo, dikenakan hukuman penjara sebulan dan didenda S$4,574.96.
Ketiga-tiga lelaki itu, yang didapati bersalah pada April 2021, didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
CPIB menyatakan: "Pihak berkuasa Indonesia sudahpun berhubungan dengan CPIB tentang kes ini.
"Singapura mengamalkan pendekatan sifar tolak ansur yang tegas terhadap rasuah. Sesiapa yang didapati bersalah berkaitan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000 atau dihukum penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali."
CNA sudahpun menghubungi kedutaan Indonesia untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.