3 lelaki didakwa; terkait kes cip Nvidia dari SG ke China
Tiga lelaki didakwa pada Khamis (27 Feb) dengan tuduhan melakukan penipuan selepas pihak berkuasa menyerbu 22 lokasi sehari sebelum itu.
3 lelaki, dengan 2 daripadanya adalah warga Singapura, dipercayai memindahkan cip Nvidia ke China secara haram bagi mengelakkan sekatan eksport Amerika. (Gambar: Reuters/Dado Ruvic)
Mediacorp difahamkan kes itu ada kaitan dengan cip Nvidia dari Singapura untuk digunakan oleh firma kecerdasan buatan China, DeepSeek.
Mereka bertiga adalah antara sembilan orang yang diberkas semasa serbuan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Kastam Singapura. Dokumen dan rekod elektronik turut dirampas.
Dua warga Singapura – Aaron Woon Guo Jie, 41 tahun, dan Alan Wei Zhaolun, 49 tahun – didakwa dengan tuduhan berpakat untuk melakukan penipuan ke atas pembekal server.
Mereka dipercayai membuat representasi palsu pada 2024 yang menyatakan bahawa barangan itu tidak akan dipindahkan kepada orang lain kecuali "penerima akhir yang diluluskan", menurut kertas pertuduhan.
Warga China Li Ming, 51 tahun, didakwa dengan tuduhan melakukan penipuan menggunakan representasi palsu.
Menurut kertas pertuduhan, dia dipercayai mendakwa pada 2023 bahawa pengguna akhir barangan itu ialah sebuah syarikat bernama Luxuriate Your Life.
CIP NVIDIA
Serbuan di Singapura dilancarkan menyusuli laporan media yang menyatakan bahawa perantara di negara ini terlibat dalam pemindahan haram cip Nvidia ke China, memintas kawalan eksport Amerika Syarikat.
Jabatan Perdagangan Amerika dilaporkan sedang menyiasat sama ada DeepSeek - syarikat China yang model kecerdasan buatan (AI) menggemparkan dunia teknologi - telah menggunakan cip Amerika yang tidak dibenarkan dihantar ke China.
Pada 1 Feb, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan bahawa ia menjangkakan syarikat-syarikat Amerika di negara ini akan mematuhi kedua-dua undang-undang Amerika dan Singapura.
Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng berkata di Parlimen pada 18 Feb bahawa Singapura tidak membenarkan syarikat-syarikat perniagaan dengan sengaja menggunakan hubungan mereka dengan China untuk memintas atau melanggar kawalan eksport negara lain.
Walaupun Singapura tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk menguatkuasakan kawalan eksport negara lain, ia menjangkakan semua syarikat yang beroperasi di Singapura akan mengambil kira peraturan sedemikian, kata Dr Tan.
Kesalahan menipu dengan representasi palsu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Siasatan polis sedang dijalankan terhadap orang lain yang ditangkap dan syarikat-syarikat lain yang mungkin terlibat.
Kastam Singapura sedang menyiasat jika terdapat kesalahan di bawah Akta Kastam dan Akta Peraturan Import & Eksport.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.