Skip to main content

Singapura

3 lelaki didakwa bocor maklumat pelanggan Singtel, Starhub

Tiga lelaki didakwa dengan tuduhan melakukan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan komputer melibatkan maklumat peribadi para pelanggan Singtel dan Starhub, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Rabu (16 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki didakwa bocor maklumat pelanggan Singtel, Starhub

Gambar fail. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Dec 2020 03:21PM Dikemas Kini : 16 Dec 2020 03:23PM

SINGAPURA: Tiga lelaki didakwa dengan tuduhan melakukan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan komputer melibatkan maklumat peribadi para pelanggan Singtel dan Starhub, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Rabu (16 Dis).

Dua lelaki - Foo Cheek Ann Kelvin dan Zhang Jiazheng - dipercayai membantu Lee Cheng Yan 37 tahun untuk mengumpul butiran peribadi pelanggan seperti alamat pelanggan tanpa izin Singtel dan Starhub.

Manakala lelaki ketiga - Lim Zong Xian Philbert - dipercayai menyogok S$1,000 kepada Lee untuk memperolehi maklumat sulit pelanggan.

DATA PELANGGAN SINGTEL, STARHUB DIAKSES TANPA KEBENARAN

Foo, 32 tahun, bekerja sebagai seorang perunding runcit di sebuah cawangan Singtel semasa melakukan kesalahan tersebut.

Dia didakwa dengan satu tuduhan bersetuju menerima rasuah S$180 daripada Lee pada 2016 sebagai upah bagi mendapatkan butiran peribadi pelanggan Singtel.

Foo didakwa dengan 15 tuduhan menggunakan komputer di tempat kerjanya untuk mengakses data pelanggan Singtel secara haram antara 2014 hingga 2017. Data tersebut termasuk alamat bekas teman wanita Lee.

Zhang, 38, bekerja sebagai perunding perkhidmatan pelanggan di Starhub ketika melakukan kesalahan itu.

Dia didakwa dengan sembilan tuduhan menggunakan komputer di tempat kerjanya untuk mengakses data pelanggan Starhub tanpa kebenaran antara 2015 hingga 2017.

Lim, 33, didakwa dengan tiga tuduhan menyogok Lee sebanyak S$1,000 secara keseluruhannya pada 2017 sebagai ganjaran bagi mendapatkan butiran pelanggan daripada kedua-dua syarikat telko itu.

Lee didakwa pada 2018 atas satu tuduhan menyogok S$180 kepada Foo bagi memperolehi butiran pelanggan Singtel, serta tiga tuduhan menerima rasuah S$1,000 daripada Lim bagi butiran pelanggan Starhub dan Singtel.

Lee juga sudah didakwa dengan 25 tuduhan bersubahat dengan menghasut Foo dan Zhang supaya menggunakan komputer di tempat kerja masing-masing bagi mendapatkan data daripada sistem Singtel dan Starhub tanpa kebenaran.

Kes Lee masih belum dibicarakan, menurut CPIB. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita