Skip to main content

Singapura

3 lelaki didakwa berhubung rompakan di MBS

Tiga lelaki yang dituduh merompak seorang wanita sebelum mengurungnya bersama anaknya di balkoni sebuah bilik di Marina Bay Sands didakwa di mahkamah pada Rabu (3 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki didakwa berhubung rompakan di MBS

Wang tunai yang dirampas menyusuli satu kes rompakan yang dipercayai berlaku di Marina Bay Sands pada 1 Jun 2026. (Gambar: SPF)

SINGAPURA: Tiga lelaki yang dituduh merompak seorang wanita sebelum mengurungnya bersama anaknya di balkoni sebuah bilik di Marina Bay Sands didakwa di mahkamah pada Rabu (3 Jun).

Du Kai, 34 tahun, Li Yue, 29 tahun, dan Ren Jiliang, 30 tahun, masing-masing didakwa atas satu tuduhan merompak sehingga menyebabkan kecederaan di Mahkamah Negara.

Ketiga-tiga warga China itu dituduh melakukan rompakan di Hotel Marina Bay Sands pada Isnin, antara pukul 6.50 petang dengan pukul 6.56 petang. Dalam kejadian tersebut, mereka dituduh mencekik leher mangsa dan menolaknya.

Menurut siasatan awal, wanita berusia 45 tahun itu pergi ke kawasan tersebut selepas bersetuju untuk menukar wang tunai bernilai S$50,000 kepada mata wang asing dengan seseorang yang dihubunginya menerusi sebuah platform pesanan, menurut kenyataan polis sebelum ini.

Individu yang mengaku menawarkan khidmat pertukaran mata wang asing itu mengarahkan wanita itu untuk membawa wang tunai ke lokasi tersebut dan memaklumkan bahawa jumlah yang ditukar akan dimasukkan ke dalam dompet elektroniknya.

Mangsa, yang ditemani anaknya, bertemu dengan seorang lelaki berhampiran Bayfront Avenue sebelum dibawa ke sebuah bilik hotel. Seorang lagi lelaki sedang menunggu di dalam tandas.

Apabila wanita itu mengeluarkan wang tunai berkenaan, salah seorang lelaki terbabit dikatakan mencekik lehernya dan menuntut supaya wang tersebut diserahkan, menurut polis.

Mangsa dan anaknya kemudian dikurung di balkoni bilik tersebut. Mereka mengalami kecederaan ringan.

Identiti ketiga-tiga lelaki itu berjaya dikenal pasti dalam tempoh empat jam selepas kejadian dilaporkan. Pihak berkuasa kemudian mendapati mereka sudah menaiki penerbangan ke Shanghai di Lapangan Terbang Changi.

Pesawat tersebut diarahkan untuk berpatah balik ke pintu pelepasan dan ketiga-tiga lelaki itu diberkas.

Wang tunai berjumlah kira-kira S$50,000 berjaya ditemui dan dirampas daripada mereka.

Ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman selepas prosiding mahkamah, dengan kebenaran diberikan kepada pihak berkuasa untuk membawa mereka keluar bagi membantu siasatan.

Kes mereka akan disebut semula di mahkamah pada 10 Jun.

Jika sabit kesalahan merompak sehingga menyebabkan kecederaan, setiap seorang boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun dan dirotan sekurang-kurangnya sebanyak 12 kali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita