Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 lelaki didakwa atas rancangan pecah masuk gudang, curi vape dirampas HSA

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tiga lelaki didakwa di mahkamah pada Khamis (28 Mac) atas kesalahan merancang untuk memecah masuk sebuah gudang di Woodlands dan mencuri vape serta peralatan berkaitan.

Barang-barang tersebut dirampas dan disimpan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) di gudang tersebut.

Ketiga-tiga lelaki tersebut adalah: Chee Wai Yuen, 35 tahun, Elvin Suriaganandhan, 22 tahun, dan Lim Zhi Wei, tahun.

Chee, seorang warga Malaysia dituduh memeriksa premis gudang yang pada 23 Mac, selepas bersubahat bersama seorang individu bernama "Ming" untuk memecah masuk unit tersebut.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Suriagananghan dan Lim, kedua-duanya warga Singapura, juga memeriksa premis yang sama pada 26 Mac.

Ketiga-tiga lelaki didakwa pada Khamis atas tuduhan bersubahat untuk memecah masuk.

Mediacorp dimaklumkan bahawa "Ming" bertanggungjawab untuk menghubungi Lim dan Chee. Siasatan polis ke atasnya masih dijalankan.

Kenyataan berasingan oleh polis dan HSA pada Rabu (27 Mac) menyatakan bahawa polis memberkas tiga lelaki tersebut dan seorang wanita 21 tahun kerana disyaki terlibat dalam merancang jenayah itu.

Pada 23 Mac, Chee diberkas oleh HSA selepas dia ditemui berlegar-legar berdekatan gudang yang menyimpan barang-barang yang dirampas.

Polis kemudian dihubungi dan Chee diberkas atas kesalahan berkaitan dadah.

Siasatan mendedahkan bahawa dia bersubahat dalam rancangan untuk mencuri barang-barang yang dirampas, dan dia sudah memperolehi abah-abah dan tali untuk menjalankan rancangannya.

Peralatan tersebut dirampas oleh pihak berkuasa.

Tiga hari kemudian, HSA menghubungi polis apabila Suriaganandhan dan Lim dilihat berlegar-legar di luar gudang yang sama. Pegawai polis dan HSA mencari dan memberkas kedua-dua lelaki itu.

Menurut kenyataan tersebut, Lim mendakwa dia diupah untuk mencuri barang yang dirampas di gudang itu, dan dia mengupah Suriaganandhan untuk membantunya.

Wanita yang bersama kedua-dua lelaki ketika memeriksa premis tersebut juga diberkas.

Siasatan polis ke atas wanita itu masih dijalankan.

Lim dan Suriaganandhan dibebaskan atas ikat jamin S$15,000 dan kes mereka akan dibicarakan pada 25 April. Chee ditahan bagi siasatan lanjut dan akan kembali ke mahkamah pada 4 April.

Sesiapa yang disabit kesalahan bersubahat untuk memecah masuk boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan