Skip to main content

Singapura

3 lelaki didakwa atas kegiatan jenayah terancang libatkan pengubahan wang haram

Tiga lelaki didakwa pada Selasa (13 Mei) kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram.

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki didakwa atas kegiatan jenayah terancang libatkan pengubahan wang haram

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: CNA/Wallace Woon)

SINGAPURA: Tiga lelaki didakwa pada Selasa (13 Mei) kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram.

Low Zhi Wei, Jang Wei Hong Dillon dan Shuek Jin Hui dituduh menjadi sebahagian daripada kumpulan yang dipercayai telah membantu orang lain mengekalkan hasil jenayah antara Julai dan Ogos 2024.

Ketiga-tiga warga Singapura itu juga menghadapi tuduhan bersubahat untuk menerima, memindahkan atau menukar kepada mata wang kripto sebanyak S$839,440 daripada 28 akaun bank dalam tempoh yang sama.

Mereka dipercayai berbuat demikian sambil mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa tindakan mereka akan membantu orang yang tidak dikenali mengekalkan hasil jenayah.

Di samping itu, mereka bertiga didakwa mengekalkan akaun GXS Bank, Trust Bank dan UOB dan menyimpan kod akses dengan niat jenayah, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Kertas pertuduhan terhadap mereka menyatakan bahawa kesalahan itu dipercayai dilakukan dengan "orang lain yang tidak diketahui".

Low, 35 tahun, menghadapi lima tuduhan berhubung dakwaan tersebut. Shuek, 36 tahun, dan Jang, 27 tahun, dituduh bersama dengan empat lagi tuduhan.

Kedua-duanya dipercayai bersubahat untuk menerima, memindahkan atau menukar kepada mata wang kripto sebanyak S$284,400 daripada dua akaun bank antara 15 Sep dan 19 Sep 2023.

Bersama-sama, mereka juga dikatakan telah mengekalkan akaun GXS Bank, MariBank dan Standard Chartered sambil berhasrat menggunakannya untuk tujuan jenayah.

Jang menghadapi sembilan tuduhan berhubung dakwaan itu, manakala Shuek menghadapi dua tuduhan tambahan dengan 11 kesemuanya.

Semasa disiasat pada 23 Ogos 2024, Shuek dituduh enggan memberikan akses kepada dua iPhone miliknya, yang disyaki digunakannya untuk tujuan jenayah.

Low dan Jang diikat jamin S$15,000, manakala Shuek diikat jamin S$30,000.

Lelaki-lelaki itu belum menyatakan sama ada mereka akan mengaku bersalah. Mereka akan dihadapkan semula ke mahkamah untuk persidangan praperbicaraan pada 19 Mei.

Hukuman atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ialah hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita