Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 lelaki diberkas, menyamar sebagai pegawai Mahkamah Tinggi, polis China

Tiga lelaki diberkas kerana terlibat dalam kes-kes penipuan berlainan.

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki diberkas, menyamar sebagai pegawai Mahkamah Tinggi, polis China

Gambar fail seorang lelaki berbual di telefon. (Gambar: Francine Lim)

Diterbitkan : 28 Jun 2018 08:56PM Dikemas Kini : 28 Jun 2018 08:59PM

SINGAPURA: Tiga lelaki diberkas kerana terlibat dalam kes-kes penipuan berlainan.

Salah satu kes melibatkan seorang rakyat Singapura berusia 31 tahun yang menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai Mahkamah Tinggi.

Mangsa diberitahu beliau disiasat "atas kesalahan pengubahan wang haram rentas sempadan di China" dan beliau perlu menyerahkan S$5,000 kepada seorang pegawai inspektor di Kallang Wave Mall.

Dalam perjalanan ke pusat beli-belah itu, mangsa berasa curiga dan menghubungi polis.

Para pegawai polis kemudian memberkas seorang rakyat Malaysia berusia 20 tahun di pusat beli-belah berkenaan. Suspek ditemui mempunyai S$47,200 yang dipercayai hasil penipuan daripada mangsa lain.

S$50,000 LESAP SELEPAS BERI OTP KEPADA PEMANGGIL

Dalam kes berasingan, seorang rakyat China berusia 53 tahun menerima panggilan daripada pemanggil yang tidak diketahui. Pemanggil mengaku dirinya sebagai polis China.

"Beliau diberitahu bahawa beliau terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan perlu memberi butiran akaun bank dan peribadinya bagi membantu dalam siasatan," menurut polis dalam kenyataannya. "Mangsa mengikuti arahan pesalah."

Mangsa kemudian menerima kata laluan sekali (OTP) di telefon bimbitnya dan membacakannya kepada pemanggil.

Tidak lama selepas itu, mangsa mendapati wang sebanyak S$50,000 dipindahkan dari akaun banknya kepada akaun yang tidak diketahui. Pada saat itulah beliau menyedari bahawa beliau sudah diperdaya.

Para pegawai memberkas dua warga Taiwan yang mendalangi kes penipuan itu. Dua lelaki berkenaan masing-masing berusia 22 dan 27 tahun. Mereka diberkas di Geylang Road. Siasatan awal mendapati mereka memperoleh hasil untung jenayah berkaitan dengan kes penipuan, menurut polis.

Ketiga-tiga lelaki akan didakwa esok (29 Jun).

Jika sabit kesalahan, masing-masing boleh dipenjara sehingga lima tahun dan/atau dipenjara.

ORANG AWAM PERLU KEKAL BERWASPADA

Penangkapan itu berlaku beberapa hari selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan satu makluman kepada orang ramai supaya berwaspada akan panggilan telefon yang mencurigakan di mana pemanggil mengaku sebagai pegawai mahkamah. Mangsa kemudian disuruh ke datang ke mahkamah.

Polis memberi amaran bahawa penipuan boleh dijalankan melalui pelbagai wadah, dan menasihati orang awam supaya mengambil langkah berjaga-jaga apabila menerima panggilan telefon di mana pemanggil menyuruh mereka untuk memindahkan wang atau menyerahkan butiran peribadi mereka.

Polis menasihati orang awam supaya mereka tidak mengendahkan panggilan itu dan tidak memberikan sebarang maklumat perbadi mahupun butiran peribadi mereka. Mereka juga tidak harus memindahkan wang jika pemanggil mengarahkan mereka untuk berbuat sedemikian.

Orang awam boleh menghubungi talian antipenipuan di 1800-722-6688 atau melungsuri laman www.scamalert.sg untuk mendapatkan nasihat berkaitan dengan kes-kes seperti ini.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan