3 lelaki diberkas; didakwa tipu syarikat pemprosesan bayaran lebih S$653,000
Tiga lelaki diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes bersubahat dengan niat untuk berkomplot bagi menipu sebuah syarikat pemprosesan pembayaran lebih S$653,000, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ahad (4 Sep).
Bukti kes dirampas oleh polis selepas tiga lelaki diberkas kerana didakwa menipu sebuah syarikat pembayaran lebih S$653,000. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Tiga lelaki diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes bersubahat dengan niat untuk berkomplot bagi menipu sebuah syarikat pemprosesan pembayaran lebih S$653,000, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ahad (4 Sep).
Kes itu dilaporkan kepada polis pada 25 Ogos dan para pegawai dari Jabatan Ehwal Komersil (CAD) SPF mengenal pasti tiga lelaki, berusia antara 27 hingga 30 tahun. Mereka diberkas pada Khamis (2 Sep).
Siasatan awal mendapati dua daripada tiga lelaki itu kononnya menyerahkan akaun-akaun bank peribadi dan syarikat mereka kepada lelaki ketiga, berusia 29 tahun. Lelaki ketiga itu kemudian didakwa menggunakan dua akaun untuk menjalankan lebih 10 urus niaga secara online melalui syarikat pemprosesan pembayaran antara Jun hingga Julai tahun ini, menurut polis.
“Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa menerima komisen atau ganjaran tunai berjumlah lebih S$9,000 dengan menyerahkan akaun-akaun bank mereka," menurut SPF dalam satu kenyataan media.
Pada 12 Ogos, lelaki berusia 29 tahun itu didakwa memfailkan pertikaian terhadap urus niaga online tersebut untuk mendapatkan bayaran balik berjumlah lebih S$653,000 daripada syarikat pemprosesan pembayaran itu.
SPF bagaimanapun tidak menamakan syarikat pemprosesan pembayaran itu. Siasatan terhadap ketiga-tiga lelaki berkenaan sedang dijalankan.
Kesalahan bersubahat dengan niat untuk berkomplot bagi menipu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Atas kesalahan membantu individu lain untuk memudahkan pengekalan faedah daripada perlakuan jenayah, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya sekali.
“Polis memberi amaran kepada orang awam bahawa mereka tidak seharusnya memberikan butiran akaun bank peribadi dan syarikat mereka kepada sesiapa," menurut SPF.
“Dengan berbuat demikian, mereka boleh dikenakan hukuman kerana membantu orang lain untuk mengubah wang haram melalui kegiatan jenayah.
“Akaun-akaun bank mereka akan dibekukan dan mereka boleh dikenakan siasatan jenayah serta didakwa di mahkamah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.