Skip to main content

Singapura

3 lelaki diberkas cuba seludup rokok; elak cukai lebih S$870,000

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki diberkas cuba seludup rokok; elak cukai lebih S$870,000

Gambar: Kastam Singapura

Diterbitkan : 13 Dec 2024 07:35PM Dikemas Kini : 13 Dec 2024 07:37PM
SINGAPURA: Tiga lelaki diberkas kerana mengelak daripada membayar cukai rokok berjumlah lebih S$870,000.

Mereka ditangkap awal minggu ini pada 10 Disember semasa satu operasi yang dijalankan pihak Kastam Singapura bagi menyasarkan produk kontraband sedemikian.

Demikian menurut media kenyataan Kastam Singapura, yang dikeluarkan pada Jumaat (13 Dis).

Sekitar 7,300 karton rokok dan lebih 7,000 paket rokok serta tiga kenderaan disita dalam operasi tersebut.
Related article image
Gambar: Kastam Singapura
Semasa operasi tersebut dijalankan, para pegawai Kastam menemui sebanyak 3,900 karton rokok yang tidak dibayar cukai dalam sebuah lori di Choa Chu Kang Street 64.

Pemandu lori tersebut, seorang lelaki warga Malaysia berusia 43 tahun, diberkas dalam operasi itu.

Sebuah lagi lori dan unit di kawasan perindustrian Gambas Crescent diserbu menyusuli penemuan kunci pada pemandu tersebut.

Para pegawai kastam menemui sebanyak 2,509 karton dan 7,015 bungkus rokok yang belum dibayar cukai dalam lori kedua itu, dan 14 karton dan 16 bungkus rokok di unit perindustrian tersebut.

Dalam satu lagi operasi susulan di Choa Chu Kang Crescent, para pegawai yang memeriksa sebuah kereta menemui sebanyak 960 karton rokok yang tidak dibayar cukai.

Dua lelaki Penduduk Tetap Singapura, berusia 20 dan 21 tahun, diberkas di tempat kejadian.

Siasatan mendapati bahawa warga Malaysia berusia 43 tahun dan Penduduk Tetap berusia 20 tahun itu, disyaki diarahkan oleh seseorang yang tidak dikenali untuk menghantar rokok yang tidak dibayar cukai itu.

Manakala, Penduduk Tetap berusia 21 tahun itu dipercayai merekrut individu berusia 20 tahun untuk membantu penghantaran.

Menurut kenyataan itu, Kastam Singapura menegaskan bahawa membeli, menjual, mengirim, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barangan yang tidak dibayar cukai adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST.

Pesalah boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah cukai dan GST yang cuba dielak, dihukum penjara hingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita