Skip to main content

Singapura

3 lelaki diberkas, 5,000 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tiga lelaki, berusia antara 19 dengan 23 tahun, diberkas selepas ditangkap dengan 5,044 karton rokok tidak dibayar cukai dan mengelak duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan nilai keseluruhan S$539,910.

Kastam Singapura dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan dalam satu kenyataan pada Selasa (11 Jul) bahawa penangkapan itu berlaku dalam satu operasi bersama pada 5 Julai di kawasan Ubi Cresent.

Agensi tersebut menyatakan bahawa pegawai Kastam Singapura sudah lama memantau sebuah unit yang disyaki digunakan untuk menyimpan rokok tidak dibayar cukai.

"Selepas seorang lelaki dilihat memasuki unit tersebut, para pegawai melakukan pemeriksaan dan menemui 2,040 karton rokok tidak dibayar cukai dibungkus dalam kotak coklat, dan 3,004 karton lain disembunyikan dalam katil sofa.

"Duti keseluruhan dan GST yang dielak masing-masing bernilai kira-kira S$495,321 dan S$44,589," menurut pihak berkuasa.

Tiga lelaki kemudian diberkas dan kesemua rokok tidak dibayar cukai dirampas.

Prosiding mahkamah terhadap ketiga-tiga individu masih dijalankan.

Di bawah Akta Kastam dan Akta GST, membeli, menjual, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barangan tidak dibayar cukai adalah kesalahan serius, tambah Kastam Singapura.

Pesalah boleh berdepan denda sehingga 40 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielak, atau hukuman penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Kami akan terus melakukan pemeriksaan di pusat pemeriksaan
dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menjaga keselamatan sempadan darat, udara dan laut daripada jenayah dan ancaman keselamatan, termasuk penyeludupan dan individu yang tidak mematuhi peraturan kami," menurut ICA.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti-aktiviti penyeludupan atau mengelakkan duti atau GST boleh menghubungi talian Kastam Singapura di 1800-2330000 atau menghantarkan emel untuk melaporkan aktiviti haram demikian di customs_intelligence [at] customs.gov.sg.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita