Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 lagi tahanan Penjara Changi positif COVID-19

Para banduan dan kakitangan dari bahagian yang terjejas COVID-19 di Kompleks Penjara Changi akan menjalani ujian berulang setelah tiga lagi banduan diuji positif virus itu, umum Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada Rabu (19 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
3 lagi tahanan Penjara Changi positif COVID-19

(Gambar: SPS)

Diterbitkan : 20 May 2021 07:49AM Dikemas Kini : 20 May 2021 07:52AM

SINGAPURA: Para banduan dan kakitangan dari bahagian yang terjejas COVID-19 di Kompleks Penjara Changi akan menjalani ujian berulang setelah tiga lagi banduan diuji positif virus itu, umum Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada Rabu (19 Mei).

Para banduan itu bekerja di dapur yang sama dengan Kes 63160, seorang kakitangan makanan SATS yang disahkan positif COVID-19 pada 13 Mei. Dapur itu ditempatkan di Institusi A5 di Kelompok A penjara tersebut.

Dengan kes-kes baru itu, kelompok Penjara Changi kini mempunyai sebanyak tujuh kes. Seorang lagi banduan - Kes 63253 - yang juga bekerja di dapur yang sama, disahkan positif pada 14 Mei. Dua kes lain dalam kelompok itu adalah kontak isi rumah pekerja SATS tersebut.

Ketiga-tiga kes baru itu dikuarantin di bilik penjara masing-masing sejak 13 Mei setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat tukang masak SATS berkenaan.

SPS menyatakan bahawa buat waktu ini tiada petanda yang menunjukkan bahawa virus tersebut sudah menular menjangkaui dapur penjara.


SPS juga sudah menjalankan ujian COVID-19 ke atas sekitar 5,000 banduan, kakitangan dan vendor dari Kelompok A penjara, yang semuanya negatif.

"Semua banduan dan kakitangan lain dari Institusi A5 telah disahkan negatif bagi ujian PCR kedua mereka," menurut SPS, sambil menambah bahawa mereka akan terus menjalani ujian berulang dalam masa beberapa hari mendatang.

BANDUAN YANG DIUJI POSITIF COVID-19

Setelah dikuarantin di bilik penjara mereka pada 13 Mei, ujian pertama bagi tiga banduan pada 14 Mei adalah negatif COVID-19. Mereka kemudian menjalani ujian kedua pada 17 Mei.

Pada 18 Mei, hasil ujian COVID-19 bagi banduan-banduan tersebut didapati positif. Mereka segera dipindahkan ke pusat kuarantin yang terletak di Kompleks Selarang Park. Pusat itu adalah tempat di mana para banduan yang disahkan positif COVID-19 dikuarantin untuk pemantauan rapi oleh pasukan perubatan, dan ia ditempatkan di luar Kompleks Penjara Changi.

Pada hari yang sama, dua banduan, seorang berusia 46 tahun dan seorang lagi yang berusia 28 tahun, mengalami demam, sementara yang ketiga, berusia 56 tahun, mengalami batuk.

"Ketiga-tiga banduan itu kini dalam keadaan sihat," menurut SPS.

"Mereka hanya akan dipindahkan semula ke populasi umum setelah mereka sembuh daripada jangkitan virus tersebut."

Selain ketiga-tiga banduan itu, seorang lagi banduan juga "dianggap positif" pada hari yang sama, menurut SPS.

Banduan itu kini sedang menjalani ujian pengesahan lebih lanjut. Dia juga pernah bekerja di dapur penjara di Institusi A5 dan berkongsi bilik penjara dengan tiga kes yang disahkan positif.

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 34 kes baru dalam masyarakat.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan