Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 klinik pendengaran masyarakat mudahkan warga emas dapatkan pemeriksaan pendengaran

Demi memberi akses yang lebih mudah untuk warga tua mendapatkan pemeriksaan masalah pendengaran, tiga klinik pendengaran dalam masyarakat kini diperkenalkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Demi memberi akses yang lebih mudah untuk warga tua mendapatkan pemeriksaan masalah pendengaran, tiga klinik pendengaran dalam masyarakat kini diperkenalkan.

Klinik yang menggunakan kaedah baru pemeriksaan pendengaran itu kini sudah membantu hampir 600 pesakit sedemikian dalam satu skim perintis.

Satu daripada klinik itu terletak di Poliklinik Pioneer. Mula beroperasi pada Ogos tahun lalu, ia menggunakan kaedah "boothless testing" atau pemeriksaan pendengaran tanpa bilik pemeriksaan.

Dengan sistem pemeriksaan pendengaran mudah alih ini, bilik-bilik khas yang selalunya ada di hospital bagi pemeriksaan sedemikian, tidak lagi diperlukan di sana, lantas mengurangkan kos persiapan.

BANTU PESAKIT DAPAT AKSES MUDAH TERUTAMA WARGA EMAS

Hasil kerjasama pasukan dari Sekolah Perubatan NUS Yong Loo Lin, Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Besar Singapura (SGH), kaedah ini diperkenalkan untuk membantu para pesakit mendapat akses lebih mudah. Ini terutama sekali bagi golongan warga emas yang didapati keberatan ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan pendengaran.

"Pemeriksaan yang kerap adalah penting terutama sekali untuk warga emas kerana statistik menunjukkan bahawa enam dalam 10 warga emas mungkin mempunyai masalah pendengaran," kata Ketua Audiologi dari Jabatan Otolaringologi di NUH, Dr Jenny Loo.

"Lagi awal pengesanan dilakukan, lagi baik untuk otak menjalani pemulihan, jadi mereka yang terjejas boleh meraih manfaat daripada alat pendengaran," tambah Dr Loo.

Selain itu, masalah pendengaran yang tidak ditangani, terutama sekali dalam kalangan warga emas, boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan lain termasuk kemerosotan kognitif, demensia, kemurungan dan pemencilan sosial.

Lantas, menurut Profesor Otolaringologi dan Kesihatan Awam dari Sekolah Perubatan NUS Yong Loo Lin, Prof William Hal Martin, klinik-klinik ini merupakan cara mereka membawa khidmat pemeriksaan pendengaran ini kepada masyarakat.

"Selalunya sukar untuk orang ramai ke hospital kerana ia sesak dan mungkin jauh daripada rumah mereka. Kami berharap dengan membawa khidmat lengkap jagaan kesihatan pendengaran ini kepada masyarakat, ia akan menjadi lebih mudah untuk mereka mengaksesnya," kongsi Prof Martin.

3 klinik pendengaran masyarakat mudahkan warga emas dapatkan pemeriksaan pendengaran. 

Dengan kemudahan yang tersedia di klinik-klinik sebegini juga, lebih mudah untuk warga emas mendapatkan pemeriksaan awal jika mereka mempunyai masalah kehilangan pendengaran.

Ini sekali gus dapat menjimatkan wang dan masa kerana mereka tidak perlu ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan pendengaran.

Selain itu, klinik-klinik pendengaran masyarakat ini juga dapat meringankan beban menerima pesakit di hospital khususnya semasa tempoh COVID-19 ini. Pihak hospital sebaliknya dapat memberi lebih banyak tumpuan kepada kes-kes pendengaran yang lebih kompleks dan ketara.

HAMPIR 600 PESAKIT SUDAH JALANI PERIKSAAN DI KLINIK-KLINIK INI

Di kalangan sekitar 600 pesakit yang sudah menjalani periksaan di klinik-klinik pendengaran itu termasuklah Cik Vera Wee, 60 tahun. Beliau mempunyai masalah pendengaran sejak 10 tahun lalu.

Menurut Cik Wee, beliau sebelum ini mempunyai masalah pendengaran lebih-lebih lagi dalam suasana yang bising dan di sekeliling orang yang sedang berbual.

"Apabila saya menonton televisyen, saya juga perlu meninggikan suaranya," kongsi Cik Wee.

Lantas, apabila mendapat tahu mengenai klinik pendengaran masyarakat selepas dirujuk, beliau menyahut peluang tersebut.

"Ia sangat dekat dengan rumah saya dan masa menunggu hanya 15 minit berbanding di hospital yang boleh mencecah satu jam," kata Cik Wee yang tinggal di daerah Jurong West.

Kini Cik Wee sudah boleh mendengar dengan lebih jelas setelah menjalani ujian dan diberi alat pendengaran.

Ini sangat membantu lebih-lebih lagi kerana beliau bekerja dalam bidang penjualan dan perlu sentiasa berkomunikasi dengan para pelanggannya.

Kemudahan seperti ini mungkin dikembangkan ke lebih banyak kawasan jika responsnya menggalakkan.

Dua lagi klinik pendengaran dalam masyarakat yang lain terletak di Poliklinik Pioneer kendalian NUH, dan di Pusat Kesihatan Masyarakat Tiong Bahru dan Pusat Tidur SGH di SingHealth Tower, kendalian SGH.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan