Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 kes Zika dilaporkan di Kovan, pertama sejak Ogos 2022

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Jumaat (12 Mei) melaporkan tiga kes jangkitan virus Zika di Kovan.

Ia merupakan jangkitan pertama sejak Ogos 2022.

Ketiga-tiga kes sama ada menetap di Kovan atau bertugas di kawasan itu, menurut agensi tersebut dalam kenyataan media.

Dua individu tersebut sedang berehat di rumah, manakala individu lagi satu berada dalam keadaan stabil di hospital. Tiada sesiapa di antara mereka yang hamil.

NEA menambah bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan kepada para doktor untuk berjaga-jaga dan menguji virus Zika terhadap pesakit yang mempunyai gejala yang serupa, terutama sekali mereka yang menetap atau bertugas di Kovan.

NEA menasihatkan para penduduk, terutama sekali wanita hamil di kawasan Kovan supaya mengawasi kesihatan mereka dengan teliti dan mendapatkan rawatan jika mereka mengalami gejala jangkitan virus Zika.

Mereka juga perlu memaklumkan kepada doktor di kawasan kediaman mereka dan tempat pekerjaan mereka, tambah NEA.

Gejala Zika termasuk demam, ruam, sakit sendi, sakit otot, sakit kepala dan konjunktivitis. Walaupun ia perkara yang jarang berlaku, jangkitan virus Zika boleh menyebabkan mikrosefali pada bayi yang berada di dalam rahim wanita hamil.

Ia adalah penyakit yang menyebabkan kepala seorang bayi mengecil.

LANGKAH-LANGKAH KAWALAN

Seperti denggi, virus Zika juga berjangkit melalui nyamuk Aedes.

Pihak berkuasa sedang menjalankan operasi penyemburan di kawasan tertutup di kawasan perumahan berdekatan Kovan untuk membunuh sebarang nyamuk dewasa, menurut NEA.

Usaha membunuh telur nyamuk juga dijalankan di kawasan awam untuk mengelak nyamuk daripada membiak. Usaha menghapuskan tempat pembiakan juga sedang dijalankan.

"Para penduduk digesa supaya membenarkan pegawai NEA untuk memeriksa rumah mereka dan menjalankan penyemburan racun serangga, supaya dapat menghapuskan nyamuk dewasa dan menghentikan rantaian penularan Zika," tambah NEA.

Pegawai NEA dan pemimpin-pemimpin masyarakat juga akan menjalankan kegiatan pendampingan di kawasan tersebut untuk meningkatkan kesedaran bagi menghalang pembiakan nyamuk dan menggalak penduduk untuk menggunakan penghalau serangga sebagai langkah pencegahan.

Untuk mengelak gigitan nyamuk, orang ramai perlu menggunakan penghalau nyamuk yang mengandungi DEET sebagai bahan aktif, memakai pakaian berlengan panjang dan duduk di dalam bilik yang berhawa dingin atau menggunakan skrin wayar halus.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan