3 kes alami alahan teruk kepada vaksin COVID-19; gejala 'dirawat segera': MOH
Tiga kes anafilaksis - atau reaksi pantas alahan teruk - dilaporkan daripada lebih 113,000 orang yang menerima vaksin COVID-19 sejauh ini, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (28 Jan).
(Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Tiga kes anafilaksis - atau reaksi pantas alahan teruk - dilaporkan daripada lebih 113,000 orang yang menerima vaksin COVID-19 sejauh ini, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (28 Jan).
"Individu-individu tersebut, berusia 20-an dan 30-an tahun mengalami pelbagai gejala seperti ruam, sesak nafas, bengkak bibir, sesak tekak dan pening," dedah MOH.
"Ketiga-tiga individu tersebut mempunyai sejarah alahan, termasuk alahan rinitis dan alergi makanan seperti kepada kerang, tetapi tiada yang memiliki sejarah anafilaksis yang akan mengecualikan mereka daripada menerima vaksin."
Kementerian itu menambah: "Anafilaksis boleh dikawal bila dikesan dan dirawat tepat pada waktunya. Oleh kerana semua orang yang diberi vaksin di Singapura dipantau secara teliti, gejala pada ketiga-tiga individu ini dikesan dan dirawat dengan segera."
Ketiga-tiganya sudahpun pulih dari alahan dan dibenarkan pulang dari hospital setelah menjalani pemerhatian atau rawatan selama sehari.
MOH menyatakan kadar tempatan kejadian anafilaksis sekarang adalah sekitar 2.7 setiap 100,000 dos yang diberikan, serupa dengan kadar yang dilaporkan di luar negara.
Profesor Madya Kenneth Mak, Pengarah Perkhidmatan Perubatan di MOH berkata bahawa anafilaksis adalah kesan sampingan vaksin yang diketahui.
"Anafilaksis adalah kesan sampingan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 yang diketahui tetapi jarang berlaku. Seperti semua vaksin, akan sentiasa ada sebilangan kecil orang yang mudah mengalami reaksi alergi yang teruk semasa vaksinasi," katanya.
"Kami telah menerapkan langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan sebelum vaksinasi dan pemerhatian selepas vaksinasi, untuk memastikan program vaksinasi kami boleh dijalankan dengan selamat."
MOH menambah bahawa manfaat mendapatkan vaksin jauh lebih besar daripada risiko kemungkinan kejadian buruk yang diketahui mempunyai kaitan dengan vaksinasi, dan bahawa kementerian akan "memantau keselamatan vaksin dengan teliti dan memastikan vaksin yang digunakan di Singapura selamat bagi golongan-golongan penduduk kami, semasa kami melancarkan program vaksinasi".
PROGRAM BANTUAN KEWANGAN BARU UNTUK KECEDERAAN VAKSIN COVID-19
MOH juga mengumumkan satu skim baru untuk menyediakan bantuan kewangan sekiranya terdapat kesan sampingan serius yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 yang ditadbirkan di Singapura. Warganegara Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang layak untuk skim itu.
Program bantuan kewangan kecederaan vaksin akan menyediakan tahap sokongan kewangan berikut:
- Bayaran sekali sahaja sehingga S$10,000 akan diberikan kepada individu layak yang dimasukkan ke hospital kerana memerlukan rawatan di Unit Kebergantungan Tinggi atau Unit Jagaan Rapi tetapi kemudian pulih dari kesan sampingan yang serius dari segi perubatan; dan
- Bayaran sekali sahaja sebanyak S$225,000 akan diberikan kepada individu yang meninggal dunia atau mengalami kecacatan teruk yang kekal akibat vaksinasi COVID-19.
Sebuah panel klinikal bebas telah dibentuk untuk "menilai dan menentukan" aplikasi, kata MOH. Seseorang mesti sudah mendapatkan vaksin di Singapura dan "mengalami kesan sampingan yang serius yang berkemungkinan mengancam nyawa atau membawa maut, dan telah memerlukan rawatan di hospital atau menyebabkan ketidakupayaan atau kecacatan berpanjangan," tambah kementerian itu.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.