Skip to main content

Singapura

3 kemudahan jagaan psikiatrik jangka panjang akan dibina jelang 2030

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Oct 2023 06:55PM Dikemas Kini : 05 Oct 2023 10:00PM
SINGAPURA: Tiga kemudahan baharu akan dibina bagi jagaan psikiatrik jangka panjang menjelang 2030.

Lebih banyak poliklinik dan GP juga akan menawarkan khidmat jagaan kesihatan mental.

Rancangan-rancangan yang diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) itu adalah sebahagian daripada satu strategi nasional baharu yang mahu memastikan jagaan kesihatan mental tidak sahaja mudah diakses tetapi juga berkesan buat mereka yang memerlukan khidmat tersebut.

Tiga kemudahan baharu yang diumumkan merangkumi dua rumah jagaan psikiatrik dan sebuah rumah pemulihan psikiatrik.

Selain itu, terdapat rancangan untuk menambah jumlah katil bagi rawatan psikiatrik dan meningkatkan keupayaan pemulihan yang ditawarkan di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Khidmat psikiatrik di Hospital Alexandra juga mahu diperluaskan.

Di samping itu, semua poliklinik baharu akan menyediakan khidmat kesihatan mental sebagai rawatan asas menjelang 2030.

MOH akan turut melatih lebih ramai doktor keluarga untuk memberi sokongan kepada kesihatan mental di bawah program SG Lebih Sihat.

"Apa yang kita ingin lakukan adalah meningkatkan ekosistem bagi sokongan kesihatan mental di Singapura, ^di mana orang ramai boleh hidup dalam masyarakat yang penyayang dan inklusif, dan boleh mendapatkan bantuan tanpa sebarang stigma serta bersedia untuk saling membantu satu sama lain," ulas Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Janil Puthucheary.

Beliau akur bahawa usaha yang sedang dijalankan "besar dan rumit" dan akan mengambil masa. Namun, ada keperluan untuk menyepadukan khidmat dan program dalam pelbagai sektor kesihatan, pendidikan sosial, tempat kerja dan masyarakat.

"Dan kami (sudahpun) mempunyai satu strategi untuk masa hadapan yang memberi panduan kepada pemerintah, institusi awam, pertubuhan swasta dan juga individu-individu tentang cara menyediakan sokongan jagaan kesihatan mental," tambah Dr Janil.
Sumber : CNA/AI/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita