3 keluarga memerlukan ini dapat hadiah Thermomix

Inisiatif lebih 60 wanita untuk hadiahkan alat memasak sanggih Thermomix kepada 3 keluarga memerlukan tercetus setelah Cik Deanna menzahirkan hasrat untuk menghadiahkan TM6 miliknya kepada mereka yang memerlukan. (Gambar: Instagram/denisedeanna)
SINGAPURA: Tiga keluarga kurang bernasib baik dan Pusat Pertapis bagi Wanita dan Perempuan (PCWG) menerima rezeki lumayan yang tidak disangka-sangka bulan ini. Mereka masing-masing mendapat alat memasak canggih Thermomix (TM6) secara percuma!
Ini setelah sekumpulan lebih 60 wanita sepakat untuk menghadiahkan alat itu - alat yang menjadi idaman ramai wanita - kepada mereka.
Thermomix merupakan alat memasak 'semua dalam satu' ciptaan Jerman yang tular penggunaannya di seluruh dunia. Ia menembusi pasaran Singapura sekitar enam tahun lalu. Satu mesin Thermomix berharga hampir S$2,700.
Berkat sifat murah hati semua wanita tersebut, mereka berjaya mengumpulkan dana lebih S$6,700 sesama sendiri dan akhirnya dapat membeli bukan satu tetapi tiga Thermomix!
MULANYA DI SINI…
Idea murni tersebut tercetus apabila pengguna TM6, Cik Fariszan Mazlan, melihat catatan Instagram seorang penasihat Thermomix yang menzahirkan hasrat untuk menghadiahkan satu alat memasak itu kepada sebuah keluarga kurang bernasib baik, yang sememangnya tidak berkemampuan untuk membelinya.
Penasihat Thermomix itu bernama Denise Chew atau juga dikenali sebagai Deanna. Awal minggu lalu, Cik Deanna berkongsi bahawa beliau menerima TM6 secara percuma daripada syarikat Thermomix Sg kerana berjaya mencapai sasaran penjualan bagi alat memasak tersebut.
“Sejak menyertai Thermomix pada September 2021, saya sangat bertuah kerana mempunyai pelanggan yang sangat menyokong saya. Sekarang, dengan rezeki ini (Thermomix percuma) saya mahu menyumbang kembali kepada masyarakat yang sudah banyak menyokong saya,” tulis Cik Deanna di Instagram beliau.
Beliau kemudian meminta para pengikutnya membuat cadangan di ruangan komen untuk mana-mana keluarga yang mereka rasa layak menerima alat tersebut dan komen yang menerima paling banyak ‘likes’ akan menjadi penerimanya.
Daripada catatan itu, Cik Fariszan berasa amat tersentuh sehingga menitiskan air mata apabila membaca komen-komen mengenai banyak keluarga memerlukan dan terpanggil mengumpul dana untuk membeli sebuah TM6 sebagai hadiah kepada sebuah lagi keluarga memerlukan.
“Saya rasa semuanya layak menerima TM6. Saya menitiskan air mata membaca kisah mereka kerana saya memahami keadaan mereka. Saya sendiri pernah menetap di rumah sewa bertahun-tahun lamanya. Alhamdulillah sekarang saya bernasib baik. Jadi saya ada keinginan yang mendalam untuk menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata Cik Fariszan kepada BERITA Mediacorp.
NIAT 1 SAHAJA TAPI DAPAT BELI 3
Pada mulanya, Cik Fariszan tidak terfikir untuk memulakan satu inisiatif. Beliau hanya mahu berkongsi kos, membeli sebuah lagi TM6 untuk sebuah lagi keluarga, dengan bantuan sekurang-kurangnya 10 orang lain.
Tanpa beliau sangka, ia berubah menjadi sebuah inisiatif besar di mana lebih ramai orang tertarik dengan usaha murni itu dan mahu turut menyumbang.
Akhirnya, seramai 63 orang tampil berkongsi kos dan jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpulkan adalah S$6,747!
Ini membuatkan Cik Fariszan terharu kerana ramai yang tampil menyumbang seberapa banyak yang mereka mampu - dari sekecil-kecil jumlah sehinggalah setinggi S$1,500 daripada seorang individu.
“Saya tidak dapat menolak mereka yang mahu menyumbang. Sedang inisiatif itu menjadi semakin besar, ia menjadi amanah penting untuk saya membantu menguruskannya,” kata Cik Fariszan.
Daripada jumlah yang dikumpulkan, mereka membeli tiga Thermomix. Ditambah dengan Themomix yang ingin Cik Deanna hadiahkan pada mulanya, bermakna sebanyak empat TM6 dapat dihadiahkan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Komisyen untuk penasihat Thermomix yang menjualnya ialah S$400. Bagaimanapun ekoran amat tersentuh dengan inisiatif lebih 60 wanita itu, Cik Deanna memutuskan untuk tidak mengambil komisyen bagi tiga TM6 yang dibeli daripada beliau.
"Saya rasa ini kisah menyentuh hati di mana kumpulan wanita ini percaya Thermomix sudah mengubah kehidupan mereka dan sekarang mereka mahu mengubah kehidupan tiga keluarga itu," kata Cik Deanna.
SIAPA PENERIMA BERTUAH TM6?
Pusat Pertapis bagi Wanita dan Perempuan merupakan salah satu catatan komen yang menerima jumlah ‘likes’ tertinggi di Instagram Cik Deanna.
Menerusi komen yang ditulis Ketua Operasi PCWG, Shazwani Jumat, para penghuni pusat itu sentiasa ghairah menantikan kelas memasak mereka yang dikendalikan oleh kakitangan di sana.
Kakitangan pusat itu pula berasa bimbang tentang keselamatan para penghuninya, yang dalam lingkungan usia sembilan hingga 20 tahun, apabila mereka menggunakan pisau.
“Saya faham Thermomix juga boleh memotong sayuran seperti bawang dan ini akan membantu kami memastikan pusat ini lebih selamat. Ia (TM6) juga ada cara-cara penggunaan yang membantu para penghuni apabila mereka memasak hidangan yang mereka inginkan,” tulis Cik Shazwani.
Apabila dihubungi BERITA Mediacorp, Cik Shazwani berkata beliau mencuba nasib menulis komen tersebut dengan harapan agar ada rezeki untuk para penghuni PCWG. Ternyata harapan itu menjadi satu doa yang dimakbulkan, PCWG dipilih menjadi salah satu penerima.
Pada Isnin (22 Jan), Cik Deanna sudahpun memulakan tugas menghantar dan mengadakan demonstrasi penggunaan TM6 di pusat tersebut. Beliau memberitahu BERITA Mediacorp, seramai 44 penghuni akan dapat memanfaatkan TM6 itu.

Lagi tiga penerima merupakan keluarga kurang bernasib baik. Salah satu daripadanya adalah seorang ibu dengan enam orang anak - dua daripadanya mengalami autisme. Suami dan bapa beliau pula kurang sihat disebabkan kemalangan yang pernah menimpa mereka.
Seorang lagi ibu enam anak juga terpilih menjadi penerima hadiah TM6. Mereka menetap di rumah sewa di Chinatown. Salah seorang anak beliau yang masih bayi sedang menjalani fisioterapi di Hospital Universiti Nasional (NUH). Individu yang menulis dedikasi untuk wanita berkenaan berkata, wanita itu sebelum ini suri rumah namun terpaksa keluar bekerja untuk menanggung kos perubatan bayinya.
Maka beliau terpaksa mengajar anak-anak yang masih kecil untuk memasak sendiri di dapur apabila beliau bekerja. Maka, TM6 itu diharap dapat memudahkan anak-anak wanita itu untuk memasak dengan selamat.
Satu lagi dedikasi yang menyentuh hati ramai adalah daripada seorang suami untuk isterinya yang dilihat amat keletihan menguruskan rumah dan anak-anak, lebih-lebih lagi memandangkan beliau baru sahaja melahirkan seorang bayi beberapa bulan lalu. Tambahan lagi, isteri beliau baru-baru ini dirawat di hospital disebabkan kegagalan buah pinggang, kencing manis dan kolestrol tinggi. Sebagai satu-satunya pencari nafkah keluarga, beliau tidak mampu untuk membeli TM6 untuk isterinya sebagai hadiah.
KEUNGGULAN & 'KEBIJAKAN' THERMOMIX
Sebagai alat memasak semua dalam satu, Thermomix boleh potong, cincang, kisar, tumis, goreng, kupas, masak dan menyediakan bermacam-macam fungsi lain.
Ia disifatkan sebagai alat bijak yang mempermudah kerja dapur selain ibarat ada ‘cef’ peribadi di rumah.
TM6 juga menawarkan ciri-ciri keselamatan yang membolehkan pengguna dari pelbagai lapisan usia menggunakannya dengan selamat.
Salah seorang individu yang menjayakan inisiatif kumpul dana tersebut, Cik Husnul Khatimah berkata keluarga-keluarga yang menerima TM6 akan dapat menikmati kemudahan memasak tanpa perlu berdiri lama di dapur.
“Untuk penerima yang merupakan penjaga (anggota keluarga lain) ini membolehkan mereka melakukan kerja-kerja lain sambil memasak makanan berkhasiat untuk keluarga,” kata Cik Husnul Khatimah.
Seorang lagi penyumbang ialah Cik Yeap Jo Ann yang menyifatkan langkah menghadiahkan TM6 kepada keluarga kurang bernasib baik sebagai satu inisiatif amat baik. Beliau berkata TM6 “benar-benar membantu menjimatkan masa” dan menyifatkannya sebagai satu “pelaburan sekali sahaja”.
“Saya harap dengan Thermomix di rumah mereka, mereka akan dapat makan makanan yang baik dan menjimatkan wang dengan lebih kerap memasak di rumah,” kata Cik Fariszan pula, yang sudah menggunakan Thermomix sejak Januari 2023.
LEBIHAN DANA BUAT BELI BAUCAR
Tiga keluarga bertuah tersebut akan menerima Thermomix mereka dalam masa terdekat ini, kata Cik Deanna kepada BERITA Mediacorp.
Sementara itu, menerusi catatan di Instagram beliau pada Isnin (22 Jan), Cik Deanna berkata “beberapa orang menderma wang” kepada beliau dan beliau akan menggunakannya untuk membeli baucar pasar raya untuk dihadiahkan kepada para penerima.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.