Skip to main content

Singapura

3 kelompok baru COVID-19 dikesan termasuk di SAFRA Tampines, My First Skool Chin Swee Rd

Setakat Khamis (12 Ogos) terdapat 119 kelompok COVID-19 aktif di Singapura, sementara 9 pesakit berada di ICU.

Anggaran Waktu Membaca:
3 kelompok baru COVID-19 dikesan termasuk di SAFRA Tampines, My First Skool Chin Swee Rd

(Gambar-gambar: Facebook/SAFRA Tampines dan Google Maps Street View)

Diterbitkan : 12 Aug 2021 11:27PM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 11:29PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 59 kes tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Khamis (12 Ogos) dan tiga kelompok baru termasuk satu di SAFRA Tampines dan satu lagi di My First Skool di 54 Chin Swee Road.

Dalam kalangan jangkitan tempatan itu, 19 tidak berhubung kait dengan kes terdahulu.

26 jangkitan dikaitkan dengan kes sebelumnya dan sudah dikuarantin. Lagi 14 kes berhubung kait dan dikesan menerusi ujian pemantauan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Lima daripada kes dilaporkan hari ini melibatkan warga emas berusia lebih 70 tahun yang tidak divaksinasi atau belum selesai divaksin dan "berisiko menghidap penyakit serius".

Tiada kes import baru dilaporkan hari ini buat pertama kali sejak 15 Jun.

TIGA KELOMPOK BARU

Tiga kelompok baru COVID-19 dikenal pasti, termasuk satu kelompok di SAFRA Tampines dan satu lagi di My First Skool di 54 Chin Swee Road.

Sebanyak sembilan kes dikaitkan dengan kelompok SAFRA Tampines. Enam kes berhubung kait dengan kelompok di My First Skool, prasekolah kedua yang dikenal pasti sebagai kelompok sejak dua hari lalu. MOH tidak memberikan perincian kelompok baru yang ketiga.

Enam lagi jangkitan dikaitkan dengan kelompok di prasekolah Superland di Pusat Masyarakat Kreta Ayer, menjadikan jumlah kes dalam kelompok itu sebanyak 10. Kelompok itu pertama kali dilaporkan pada Rabu.

Tiada kes baru kaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar & Pusat Makanan Hong Lim. Ia kekal sebagai kelompok aktif terbesar di Singapura, dengan 1,151 jangkitan.

Terdapat 119 kelompok aktif di Singapura setakat Khamis.

SEMBILAN DALAM KEADAAN KRITIKAL

Sebanyak 470 pesakit dirawat di hospital. Sembilan daripadanya dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi manakala 36 kes penyakit serius memerlukan bantuan oksigen.

Dalam kalangan 45 kes tersebut, lima daripadanya telah divaksinasi sepenuhnya. Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 37 pesakit berusia lebih 60 tahun, di mana 32 daripada mereka belum selesai divaksinasi atau langsung tidak mendapatkan suntikan vaksin.

"Terdapat bukti berterusan bahawa hampir kesemua individu yang mendapatkan vaksin sepenuhnya tidak mengalami sakit serius jika dijangkiti, kecuali jika mereka mempunyai keadaan kesihatan sebelumnya yang membuat mereka lebih lemah," kata MOH.

Sepanjang 28 hari lalu, peratusan mereka yang tidak divaksinasi yang sakit teruk atau meninggal dunia adalah 9.3 peratus, manakala peratusan dalam kalangan mereka yang divaksin penuh adalah 0.9 peratus.

73 PERATUS PENDUDUK SELESAI DIVAKSIN SEPENUHNYA

Lebih 8.2 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan di bawah program vaksinasi nasional, dengan hampir 4 juta orang lengkap menjalani rejimen vaksinasi penuh setakat Rabu.

Di samping itu, 141,405 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam Penyenaraian Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah diberikan kepada 82,881 orang setakat Rabu.

Secara keseluruhan, 73 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani rejimen penuh mereka atau menerima dua dos vaksin COVID-19, sementara 81 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat telah merosot kepada 412 kes pada minggu lalu daripada 723 kes, minggu sebelumnya, menurut MOH.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat turut merosot daripada 215 kes pada minggu sebelumnya kepada 117 kes minggu lalu.

Setakat Khamis, Singapura telah melaporkan 66,012 jangkitan COVID-19 dengan 43 kematian akibat penyakit itu. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita