3 kali lebih banyak penerbit sertai Pesta Buku Melayu SG tahun ini
SINGAPURA: Lebih banyak syarikat penerbitan dan pengedar buku menyertai Pesta Buku Melayu Singapura tahun ini.
Jumlahnya naik tiga kali ganda berbanding tahun lalu dengan penyertaan lebih 15 syarikat dan pengedar buku kali ini.
Dengan tema 'Menimba Ilmu, Menebar Bakat', acara tiga hari itu menawarkan buku-buku hasil pena penulis watan dalam bahasa Melayu dan dwibahasa di Wisma Geylang Serai (WGS).
Dalam kesempatan itu juga, sebanyak sembilan buku akan dilancarkan.
"Ini membuktikan adanya peningkatan, adanya kenaikan dan adanya usaha pihak-pihak penerbit untuk terus menerbitkan buku-buku Melayu. Jadi ini satu peningkatan yang sangat ketara iaitu penglibatan lebih ramai penerbit dan juga pengeluaran buku-buku baharu yang lebih banyak," kongsi Pengerusi Pesta Buku Melayu Singapura 2023, Cik Isiah Majid.
Selain itu, antara pembaharuan kali ini termasuk program-program pengkaryaan yang menarik untuk mereka dari pelbagai lapisan usia.
Antara yang ditawarkan termasuk acara Tarian Si Pena dan bengkel Tenik Penceritaan.
"Kita cuba mencungkil bakat menulis pelajar-pelajar menengah ataupun pos-menengah atau sesiapa sahaja orang dewasa yang suka untuk ikut serta," kongsi Cik Isiah.
PELUANG UNTUK PENULIS DAN PENERBIT TEMPATAN KONGSI KARYA BAHARU
Bagi para penulis dan penerbit buku, acara sebegini memang dinanti-nantikan untuk berkongsi karya-karya baharu dan terbitan mereka.
Antara yang mengambil bahagian kali ini ialah Ungu Pena, yang antaranya menawarkan buku-buku yang menerapkan pelbagai elemen interaktif termasuk kaedah baharu seperti Realiti Terimbuh (AR) dan animasi.
Ini termasuk buku-buku berjudul Pokok Saga Istimewa, Awan Kecil, Pengembaraan Tim serta yang baru sahaja dilancarkan iaitu Memerang Di Kota.
"Kami dapat lihat bahawa buku-buku AR atau animasi dan yang menggunakan kod QR ini dapat memikat ataupun menarik minat kanak-kanak dan juga ibu bapa untuk bersama-sama menggunakan buku itu untuk membaca," kongsi Pengasas Bersama Ungu Pen, Cik Maria Mahat kepada BERITA Mediacorp.
"Memang ramai ibu bapa yang teruja dan seronok. Kanak-kanak juga seronok sebab mereka tahu sebab selain daripada membaca seperti biasa, mereka juga dapat bernyanyi atau melihat ada suara, ada bunyi, ada gambar yang berjalan jadi memang ada peningkatan sekiranya buku itu ada ciri-ciri seperti ini," tambah beliau.
Namun ini juga membawa cabaran dalam penghasilan buku-buku sebegini iaitu kosnya yang lebih tinggi.
"Kami rasa trend untuk AR dan animasi mungkin tidak akan meningkat kerana kos membuat buku sebegini agak tinggi. Jadi sekiranya kami ada dapat dana daripada pihak luar, insya-Allah trendnya akan meningkat," ujar Cik Maria.
Cik Maria juga merupakan antara penulis yang melancarkan buku mereka dalam majlis pelancaran hari ini (25 Ogos) iaitu buku kanak-kanak 'Bel, Tom dan Oyen'.
Platform sebegini menurutnya penting untuk para penulis dan penerbit "mengembangkan lagi karya mereka ke khalayak yang lebih luas".
PENULIS DAPAT BERTEMU DENGAN PEMINAT, PENCINTA DAN PEMBACA
Turut berkongsi pandangan yang sama ialah penulis Encik Peter Augustine Goh yang juga melancarkan buku kanak-kanaknya berjudul 'Kisah Sang Ketam'.
Beberapa mesej positif juga disulam dalam buku baharu itu agar moral yang tinggi itu dapat ditanam dalam kalangan kanak-kanak.
"Pesta Buku Melayu Singapura 2023 ini merupakan satu platform yang baik bagi penulis seperti saya kerana selama ini, para peminat, penggemar, pencinta ataupun pembaca yang tegar, hanya mengenali saya melalui suratkhabar dan kadangkala di radio. Itu tidak mencukupi," kongsi Encik Goh yang juga merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2019.
"Jadi ini merupakan platform di mana saya dapat bersemuka dengan mereka secara fizikal di mana mereka mungkin ingin bertanyakan saya tentang tulisan dan bagaimana untuk mendapatkan idea dan sebagainya. Secara tidak langsung, ia memberikan mereka rangsangan untuk menjadi penulis seperti saya pada hari muka," tambah beliau.
PERLU ADA BAHAN, INTI MENARIK UNTUK MENARIK MINAT MASYARAKAT
Pesta Buku Bahasa Melayu Singapura itu dirasmikan pagi tadi (25 Ogos) oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam.
Cik Rahayu mengalu-alukan usaha tersebut kerana melihatnya sebagai wadah bagi penulis dan penerbit menjana idea bagi kandungan baharu.
"Wadah sebegini adalah penting kerana ia memberi peluang untuk penerbit dan penulis menunjukkan bahan-bahan yang mereka ada, sumber-sumber ilmu yang saya rasa penting untuk masyarakat dakapi. Yang penting sekali juga kerana kita mungkin sentiasa memerlukan kesegaran, jadi peluang sebegini mungkin saya rasa dapat mengajak penulis mencari bahan baharu juga, menulis buku baru dan juga sama-sama dapat dikongsi oleh masyarakat," kongsi Cik Rahayu.
"Usaha untuk melestarikan penggunaan bahasa dan rasa cinta kepada bahasa ini adalah satu usaha yang berterusan jadi kita perlukan usaha semua pihak dan untuk mulakan perjalanan itu, kita perlu ada bahan bacaan, inti yang menarik untuk menarik minat anak-anak dan remaja," ujar Cik Rahayu.
"Jadi penting untuk adakan aktiviti sebegini di mana kita dapat mempamerkan apakah bahan-bahan yang ada yang boleh kita gunakan untuk mengajar, untuk bercerita dan untuk bermain dengan anak-anak," tambahnya.
Pesta Buku Melayu Singapura 2023 yang diadakan buat kali kelima tahun akan berlangsung hingga Ahad (27 Ogos) ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.