3 institut sukan SG digabungkan dalam satu entiti
Institut Sukan Singapura (SSI), Institut Sukan Belia Negara (NYSI) dan Sekolah Sukan Singapura (SSP) akan digabungkan menjadi satu entiti untuk menempatkan semua institusi-institusi sukan di bawah satu jenama.
Institut Sukan Singapura, Institut Sukan Belia Negara dan Sekolah Sukan Negara digabungkan menjadi satu entiti bagi mempertingkatkan pembangunan atlet. (Gambar: Facebook/Edwin Tong)
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong mengumumkan demikian di Parlimen pada Isnin (10 Mac) sedang beliau membentangkan peruntukan belanjawan kementeriannya.
SSI, pusat latihan perdana untuk atlet negara, dan NYSI, sebuah pertubuhan sukan yang bertujuan memacu perkembangan belia, akan disepadukan pada bulan depan.
Entiti baharu itu kemudian akan digabungkan dengan SSP dalam "masa beberapa tahun akan datang", menurut Encik Tong.
Menurutnya, SSP akan kekal sebagai sebuah sekolah dan mengekalkan "jenama dan identitinya".
"Penggabungan itu akan menyepadukan secara lebih rapat Sekolah Sukan Singapura dengan seluruh ekosistem sukan yang berprestasi tinggi.
"Kami juga akan memperkemas titik hubungan dengan pihak berkepentingan yang terlibat sepanjang kehidupan seorang atlet, seperti ibu bapa dan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA)," katanya.
"Kami kemudian dapat menyediakan laluan yang diselaraskan secara berpusat yang boleh menawarkan keterlihatan lebih jelas dan jaminan kepada para atlet."
Dalam kertas faktanya, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) berkata langkah itu akan memperkemas fungsi ketiga-tiga institut itu kepada sebuah "rangka kerja sokongan belia ke senior" yang lebih disepadukan dan cekap untuk mempertingkatkan "penyampaian khidmat" kepada para atlet.
"Misi SSP untuk menyediakan laluan akademik dan sokongan kepada atlet pelajar kekal tidak berubah," menurut MCCY.
Penyatuan itu akan menawarkan sistem sokongan yang lancar dan menyeluruh kepada para atlet sepanjang perjalanan mereka berkecimpung dalam sukan, menurut MCCY.
Ia juga akan mengukuhkan perkongsian dengan Persatuan Sukan Negara (NSA) berhubung pembangunan atlet dan haluan.
Semua atlet Team Singapore akan terus menerima tahap sokongan sedia ada oleh NYSI dan SSI menyusuli penggabungan mereka ke dalam sebuah institut sukan yang baharu.
Tiada sebarang pemberhentian dijangka dilakukan di mana-mana pertubuhan.
"Kesemua langkah ini secara kolektif akan mengukuhkan dan mendalami penyepaduan antara aspek-aspek penting sukan berprestasi tinggi," kata Encik Tong.
"Kami mempunyai beberapa lapisan sokongan yang berkisarkan para atlet, bagi menyokong mereka dalam perjalanan mereka, dari belia sehingga ke peringkat senior".
Penyepaduan ketiga-tiga institut itu "akan menyokong visi dan rancangan kita bagi sempadan kecemerlangan sukan yang seterusnya, seperti dikongsi oleh Perdana Menteri di Rapat Hari Kebangsaan 2024", menurut MCCY.
Di Rapat Hari Kebangsaan pada tahun lalu, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata SSP akan berpindah dari kampusnya di Woodlands sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Kallang Alive.
Menyifatkan Kallang sebagai 'rumah baharu' Team Singapore, PM Wong turut mendedahkan rancangan membangunkan kemudahan sains sukan dan perubatan sukan yang baharu, dan pusat-pusat latihan kebangsaan bagi beberapa sukan 'utama' akan disepadukan di sana dan ditempatkan di bawah satu bumbung demi 'sinergi' lebih baik.
Encik Tong berkata: "Ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum rumah Team Singapore menjadi di bawah Pelan Induk Kallang Alive. Namun kami berhasrat mempercepatkan proses itu sekarang.
"Walaupun kami mungkin tidak dapat mepercepatkan proses pembangunan semula dan binaan secara fizikal, kami masih boleh dari sekarang, mengatur diri di sekitar struktur bersepadu yang direka untuk memacu kecemerlangan sukan Singapura ke peringkat lebih tinggi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.