Skip to main content

Singapura

3 individu dibawa ke hospital susuli insiden pokok tumbang di Ulu Pandan

2 mangsa terperangkap di bawah pokok yang tumbang manakala seorang lagi ditemui cedera berhampiran pokok tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
3 individu dibawa ke hospital susuli insiden pokok tumbang di Ulu Pandan

Kelab Masyarakat Ulu Pandan. (Gambar: Google maps)

SINGAPURA: Tiga individu dikejarkan ke hospital selepas sebatang pokok di pekarangan Kelab Masyarakat Ulu Pandan tumbang pada Sabtu (20 Ogos).

Dua daripada mereka terperangkap di bawah pokok itu manakala seorang lagi ditemui cedera berhampiran pokok tersebut, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.

Mereka dibawa ke hospital dalam "keadaan sedar dan stabil".

SCDF menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang insiden di 170 Ghim Moh Road hampir pukul 6.00 petang.

Anggota bomba dan penyelamat dari Pasukan Bantuan dan Penyelamat Bencana (DART) terpaksa menuruni bukit dan melalui banyak tumbuh-tumbuhan untuk ke tempat kejadian.

"SCDF mendapati dua orang terperangkap di bawah pokok besar yang tumbang; seorang lagi ditemui cedera berhampiran pokok tumbang itu," jelas SCDF, sambil menambah pihaknya segera memulakan operasi menyelamat selepas memastikan kestabilan pokok tersebut.

Peralatan memotong turut digunakan dalam operasi itu untuk menarik keluar dua orang yang terperangkap.

Para pakar perubatan kecemasan juga berada di tempat kejadian untuk memantau keadaan para mangsa.

SCDF mengerahkan anjing-anjing K9 bagi memastikan tiada individu lain terperangkap di kawasan itu.

Kelab Masyarakat Ulu Pandan menyatakan pihaknya sedang berusaha mendapatkan perincian berhubung insiden berkenaan.

Pada 2017, seorang wanita maut selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang di Kebun Bunga Singapura.

Tahun lalu, seorang lagi wanita turut maut selepas sebatang pokok yang tumbang menghempapnya di Taman Marsiling.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita