Skip to main content

Singapura

3 individu alami kesan buruk selepas makan produk pelansing dengan bahan terlarang

 Tiga individu mengalami kesan sampingan teruk seperti jantung berdebar-debar dan rasa loya selepas mengambil produk pelangsing badan yang mengandungi bahan terlarang sibutramina, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hari ini (10 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
3 individu alami kesan buruk selepas makan produk pelansing dengan bahan terlarang

Produk-produk ini mengandungi bahan terlarang. (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 10 Nov 2021 12:55PM Dikemas Kini : 10 Nov 2021 12:57PM

SINGAPURA: Tiga individu mengalami kesan sampingan teruk seperti jantung berdebar-debar dan rasa loya selepas mengambil produk pelangsing badan yang mengandungi bahan terlarang sibutramina, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hari ini (10 Nov).

Produk-produk tersebut adalah Magic Mocha, Thao Moc Ho Tro Giam Beo Cenly dan Cynthia Beauty EazyS Instant Coffee Powder.

Ia dijual di laman-laman e-dagang seperti Carousell, Lazada, Shopee dan Qoo10 serta platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.

"Produk-produk itu diiklankan dengan dakwaan-dakwaan mengelirukan termasuk 'bertindak pantas', 'membakar lemak', 'mengurangkan penyimpanan lemak' dan 'mempercepatkan pembakaran lemak degil'," menurut HSA.

Pihak berkuasa menyatakan ia sudahpun mengeluarkan amaran kepada para penjual dan para pentadbir platform sudahpun menurunkan iklan-iklan yang tersebut.

HSA menyatakan ia menerima tiga aduan daripada pengguna yang mengalami masalah jantung berdebar-debar, rasa loya, rasa haus melampau, migrain atau rasa pening selepas mengambil produk-produk itu.

Analisis produk-produk pelangsing badan itu menunjukkan bahawa ia mengandungi sibutramina yang boleh menyebabkan kesan sampingan teruk.

SIBUTRAMINA DILARANG SEJAK 2010

Pengambilan berterusan produk-produk itu boleh menyebabkan kesan buruk ke atas kesihatan seperti masalah jantung dan gangguan sistem saraf utama seperti psikosis dan halusinasi, menurut HSA.

Pihak berkuasa itu menjelaskan bahawa Singapura sudahpun melarang sibutramina, yang pada ketika itu merupakan ubat yang hanya boleh didapati melalui preskripsi, sejak 2010 disebabkan risiko lebih tinggi menghidapi serangan jantung dan angin ahmar.

Para pengguna sebelum ini juga mengadu tentang kesan buruk lain termasuk sukar tidur dan halusinasi.

HSA menasihatkan semua penjual dan pembekal supaya berhenti menjual kesemua produk tersebut dengan serta-merta.

Sesiapa yang menjual atau membekalkan produk yang mengandungi bahan terlarang boleh didakwa dan dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit kesalahan.

Ia juga menasihatkan para pengguna supaya segera berhenti mengambil produk pelangsing badan yang terjejas dan berjumpa doktor jika berasa kurang sihat atau bimbang tentang kesihatan mereka.

Pengawalan berat badan seharusnya dicapai menerusi gabungan diet seimbang dan senaman yang sesuai, tambah HSA.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita