3 guru dinobat Anugerah Guru Arif Budiman; terap inovasi dalam pembelajaran bahasa Melayu
Tiga guru Bahasa Melayu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) 2023.
SINGAPURA: Tiga guru Bahasa Melayu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) 2023.
Selain cemerlang dalam pendidikan, mereka juga dipuji kerana menerapkan inovasi dan teknologi ke dalam pembelajaran bahasa Melayu.
Anugerah tersebut disampaikan tetamu terhormat Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong yang hadir di acara yang diadakan di The Chevrons.
Dalam ucapannya semasa majlis pada Sabtu (4 Nov), beliau menggalak para guru untuk meneroka cara-cara baharu untuk melestarikan bahasa dan budaya Melayu.
"Mari kita terus memupuk cinta yang mendalam terhadap Bahasa Melayu dalam sanubari pelajar kita dan bukan dan melihatnya sebagai laluan akademik atau rintangan akademik yang perlu mereka lalui. Pastikan para pelajar kita terhubung dengan asal usul kita sedang mereka mula membina masa depan kita bersama di Singapura," kata Encik Tong.
Menteri kedua undang-undang itu juga turut memuji ketiga-tiga penerima AGAB tahun ini yang menunjukkan komitmen mereka untuk menyesuaikan diri dan berinovasi bagi memenuhi keperluan pelajar yang semakin berkembang.
Salah seorang daripadanya ialah penerima AGAB Kategori Perangsang, Cikgu Nur Amalina Shalan dari Sekolah Menengah Commonwealth.
Anugerah tersebut disampaikan kepada para guru yang berkhidmat kurang 10 tahun.
Beliau antara lain telah melancarkan sebuah podcast berjudul 'Sang Saka Biru' untuk para pelajarnya selain melibatkan mereka dalam program-program kemasyarakatan dan kebudayaan.
"Saya akan terus menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kritis, dan mendedahkan mereka kepada pelbagai pembelajaran autentik dalam dan juga di luar bilik darjah supaya mereka dapat meminati subjek Bahasa Melayu dan menjadi bersemangat dan juga terbiasa menggunakannya," kata Cikgu Amalina, yang sudah tujuh tahun menjadi guru bahasa Melayu.
Seorang lagi penerima anugerah dalam kategori yang sama ialah Cikgu Hairani Asri dari Sekolah Rendah Punggol.
Berbekalkan sembilan tahun pengalaman dalam bidang pendidikan, beliau kini menggalas tanggungjawab memberikan bimbingan teknologi infokom (ICT) kepada guru-guru di sekolahnya dan para pelajar.
SATU-SATUNYA PENERIMA ANUGERAH KATEGORI TELADAN
Cikgu Noraini Karsani dari Sekolah Rendah New Town pula merupakan satu-satunya penerima Anugerah Kategori Teladan.
Selain membantu para pelajar, beliau juga terlibat dalam pembangunan profesional guru-guru di sekolahnya.
"Antara usaha yang akan saya lakukan ialah mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti budaya seperti menghadiri acara kebudayaan, program pertukaran pelajar dan juga pertandingan-pertandingan yang menyerlahkan bakat serta bahasa mereka," kata Cikgu Noraini.
Sebanyak 261 pencalonan diterima untuk edisi ke-17 AGAB ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.