3 geran baru galak syarikat tukar kepada penyejuk mesra iklim
Tiga geran baru dilancarkan bertujuan untuk menggalak syarikat bertukar kepada peti penyejuk guna air dan mengurangkan jumlah hidrofluorokarbon (HFC) yang dihasilkan.
Gambar fail sebuah pasar raya. (Gambar: Philippe Lopez/AFP)
SINGAPURA: Tiga geran baru dilancarkan bertujuan untuk menggalak syarikat bertukar kepada peti penyejuk guna air dan mengurangkan jumlah hidrofluorokarbon (HFC) yang dihasilkan.
Geran tersebut akan menyokong sebahagian daripada kos mendapatkan penyejuk dengan potensi pemanasan global (GWP) yang rendah. Ia adalah sebahagian daripada langkah-langkah yang diumumkan awal tahun ini, bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau berkaitan HFC.
GWP adalah ukuran kesan pemanasan gas berbanding dengan kesan pemanasan karbon dioksida yang setara, biasanya dalam jangka masa 100 tahun.
Dengan bertukar kepada penyejuk yang mempunyai GWP rendah, syarikat boleh membantu mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau di Singapura yang timbul dari sektor penyejukan dan penghawa dingin. Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dalam satu kenyataan media bersama pada Khamis (8 Okt).
HFC adalah sejenis bahan kimia yang kerap digunakan sebagai bahan pendingin dalam sektor penyejukan dan penghawa dingin. Apabila dilepaskan ke persekitaran, HFC mempunyai kesan lebih kuat daripada karbon dioksida dalam menyumbang kepada pemanasan global.
NEA sebelum ini mengumumkan ia berhasrat mengehadkan bekalan penyejuk guna air yang menggunakan bahan penyejuk GWP tinggi. Ini akan bermula mulai suku keempat 2022.
Ketiga-tiga geran itu akan menyokong syarikat untuk bertukar kepada penyejuk guna air dengan bahan penyejuk yang mempunyai GWP rendah. Ini selain membantu melincinkan peralihan syarikat kepada penggunaan alat penyejuk dan penghawa dingin yang mesra iklim, jelas kenyataan tersebut.
Penyejuk dengan bahan GWP yang rendah, berukuran GWP 15 atau kurang, secara amnya menghasilkan kos tenaga lebih rendah kerana ia lebih cekap tenaga tetapi mempunyai kos lebih tinggi berbanding penyejuk dengan bahan penyejuk tinggi GWP.
"Perubahan iklim adalah cabaran yang wujud bagi Singapura yang memerlukan tindak balas seluruh negara dan usaha daripada semua sektor untuk mengurangkan pelepasan gas hijau," kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu.
BCA akan mentadbir geran itu di bawah skim baru - Geran bagi Penyejuk dengan Bahan Penyejuk Rendah GWP - yang menyokong pemilik atau pengendali bangunan sedia ada, serupa dengan aturan di bawah Peraturan Kawalan Bangunan (Langkah-langkah Kemampanan Sekitaran untuk Bangunan Sedia Ada) 2013.
Geran bagi kemudahan perusahaan dan pusat data akan tergolong di bawah Dana Kecekapan Tenaga (E2F) dan Geran Kecekapan Sumber bagi Tenaga (REG(E)) sedia ada. E2F dan REG(E) masing-masing ditadbir oleh NEA dan EDB.
Syarikat yang tidak memenuhi mana-mana kriteria di atas juga boleh menghubungi NEA untuk memeriksa kelayakannya bagi geran tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.