3 didakwa dengan tuduhan rasuah; palsukan dokumen penjualan tiket penerbangan
Tiga individu didakwa pada Rabu (10 Nov) berhubung satu skim di mana wang sogok dipercayai diberikan sebagai ganjaran untuk membeli tiket penerbangan korporat dari sebuah syarikat pelancongan.

(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Tiga individu didakwa pada Rabu (10 Nov) berhubung satu skim di mana wang sogok dipercayai diberikan sebagai ganjaran untuk membeli tiket penerbangan korporat dari sebuah syarikat pelancongan.
Dua kakitangan Majestic Travel dituduh bersubahat untuk menyogok seorang penolong pengurus di Furuno Singapore sebagai upah bagi pembelian tiket penerbangan syarikat itu.
Antara Ogos 2018 dengan Ogos 2019, kakitangan Furuno, See Chun Keat dipercayai menerima atau bersetuju untuk menerima suapan bernilai S$17,700 bagi pembelian 22 tiket penerbangan dari Majestic Travel, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam kenyataan medianya.
Wang sogok itu dipercayai diberikan oleh dua kakitangan Majestic iaitu pakar runding pelancongan Bong Fung Sen, 38 tahun dan pengurus operasi Tan Han Ser, 58 tahun.
See, 38 tahun berdepan 12 tuduhan rasuah kerana menerima dan bersetuju untuk menerima suapan.
Bong dan Tan masing-masing berdepan 12 tuduhan bersubahat untuk menyogok See.
Ketiga-tiga tertuduh juga berdepan dengan tuduhan-tuduhan lain kerana dipercayai memalsukan urusan jual beli saham atau 'Exchange Order', nota kredit dan invois syarikat.
"Singapura tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah dan aktiviti jenayah yang lain," menurut CPIB.
Sesiapa yang didakwa atas kesalahan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000 atau dihukum penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.