3 diberkas kerana anjur bantahan di luar bangunan MOE
Tiga individu diberkas pada petang Selasa (26 Jan) kerana mengadakan bantahan di luar bangunan Kementerian Pendidikan (MOE).
(Gambar fail: Ngau Kai Yan)
SINGAPURA: Tiga individu diberkas pada petang Selasa (26 Jan) kerana mengadakan bantahan di luar bangunan Kementerian Pendidikan (MOE).
Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan pada lewat Selasa bahawa ketiga-tiga individu itu berusia antara 19 hingga 32 tahun dan mereka diberkas kerana menyertai satu perhimpunan awam tanpa permit.
Pada sekitar 5.00 petang semalam, sekumpulan lima individu "dipercayai mengadakan bantahan" di luar ibu pejabat MOE di Buona Vista Drive sambil membawa sepanduk dengan mesej “#FIX SCHOOLS NOT STUDENTS”, “WHY ARE WE NOT IN YOUR SEX ED”, “HOW CAN WE GET A’s WHEN YOUR CARE FOR US IS AN F”, “trans students will NOT be erased” dan “trans students deserve access to HEALTHCARE & SUPPORT”, menurut polis.
Kumpulan itu tidak mempunyai permit yang sah untuk mengadakan perhimpunan awam dan apabila polis tiba di tempat kejadian, hanya tiga individu yang masih berada di sana.
“Polis memberi amaran kepada mereka supaya menghentikan kegiatan mereka kerana mereka boleh melakukan kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam. Mereka bagaimanapun mengabaikan amaran polis dan meneruskan kegiatan mereka,” menurut polis.
“Kumpulan itu kemudian diarahkan supaya beredar dari kawasan itu di bawah Seksyen 36 Akta Ketenteraman Awam dan diberitahu bahawa mereka akan diberkas sekiranya gagal mematuhi arahan tersebut. Ketiga-tiga individu itu enggan mematuhi arahan tersebut walaupun sudah berulang kali diberikan amaran oleh pihak polis dan mereka diberkas di bawah Akta Ketenteraman Awam sekitar jam 5.35 petang. "
Lima sepanduk, dua bendera berwarna-warni dan satu beg biru dirampas berkaitan kes itu. Ketiga-tiga individu itu dibebaskan dengan ikat jamin pada sekitar 10.00 malam dan siasatan sedang dijalankan, tambah polis.
Awal dari itu, Community Action Network SG menyatakan bahawa sekumpulan pelajar dan penyokong merancang untuk mengadakan bantahan pada pukul 5.00 petang pada Selasa bagi menggesa Menteri Pendidikan Lawrence Wong supaya "menghentikan diskriminasi terhadap pelajar LGBTQ+ oleh sekolah-sekolah MOE".
Mereka juga mahu Encik Wong "menegakkan hak asasi semua pelajar untuk mendapatkan pendidikan dalam persekitaran sekolah yang selamat dan saling menyokong".
Dalam kenyataan tersebut, para penunjuk perasaan juga menggesa MOE supaya mengakui dan meminta maaf atas "keburukan yang dilakukan oleh pihak sekolah terhadap LGBTQ + melalui amalan diskriminasi MOE di sekolah".
Awal bulan ini, seorang pelajar menulis dalam catatan Reddit bahawa MOE menghalangnya daripada mendapatkan surat rujukan doktor untuk memulakan terapi hormon.
MOE menyangkal dakwaan tersebut dua hari kemudian, sambil menegaskan bahawa adalah "tidak benar" pihaknya campur tangan dalam rawatan pelajar berkenaan dan mengusulkan kepada pelajar tersebut supaya mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah untuk "menjelaskan dan membincangkan bagaimana pihak sekolah dapat menyokong persekolahannya dengan lebih baik".
Pada 21 Januari, MOE mengeluarkan satu kenyataan bersama dengan Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi memaklumkan bahawa keputusan muktamad mengenai penggunaan terapi hormon "terletak pada doktor dan pesakit mereka".
"Rawatan sedemikian juga memerlukan persetujuan bertulis daripada ibu bapa (bagi pelajar bawah umur)," menurut MOE dan IMH.
"Dalam persekitaran sekolah, sekolah-sekolah bekerja rapat dengan IMH dan ibu bapa untuk menyokong pelajar-pelajar ini, dan untuk mengekalkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
"Dalam hal ini, pihak sekolah komited untuk memberikan sokongan pendidikan yang diperlukan untuk pelajar menamatkan persekolahannya, termasuk melalui pembelajaran di rumah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.