3 diberkas guna maklumat kad kredit curi beli telefon bimbit
Dua lelaki dan seorang wanita, berusia antara 22 dengan 24 tahun, diberkas kerana didakwa menggunakan maklumat kad kredit yang dicuri untuk membeli telefon bimbit online.

Gambar fail. (Gambar: AFP/Damien Meyer)
SINGAPURA: Dua lelaki dan seorang wanita, berusia antara 22 dengan 24 tahun, diberkas kerana didakwa menggunakan maklumat kad kredit yang dicuri untuk membeli telefon bimbit online.
Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan dalam satu kenyataan media hari ini (30 Apr) bahawa ia dimaklumkan tentang kes penipuan melibatkan pembelian telefon bimbit bernilai S$1,888 itu pada Khamis lalu (26 Apr).
Ketiga-tiga suspek dikenal pasti dan diberkas di beberapa lokasi pada Khamis dan Jumaat lalu (27 Apr0. Sebuah komputer riba dan empat telefon bimbit dirampas sebagai bukti, menurut polis.
Siasatan awal menunjukkan maklumat kad kredit yang terjejas digunakan dalam pembelian tersebut, menurut polis, sambil menambah suspek dipercayai terlibat dalam kes lain yang serupa.
Siasatan masih dijalankan. Sesiapa yang disabit kesalahan berkomplot untuk melakukan penipuan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Dalam kenyataan media itu, polis menasihati semua pemegang kad debit atau kredit supaya melindungi maklumat kad masing-masing dan jangan mendedahkan maklumat sensitif perbankan kepada sesiapa.
"Mereka juga dinasihati supaya berhati-hati apabila membuat pembayaran online menggunakan maklumat kad mereka dan hanya melungsuri lelaman yang boleh dipercayai untuk membeli-belah online," menurut polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.