3 diberkas dalam penipuan tempahan palsu; menyamar sebagai anggota SAF
MINDEF menyatakan bahawa pihaknya sedia maklum mengenai tujuh kes tempahan palsu dan sudah membuat aduan polis.(Gambar: Facebook/Muhammad Shazain Faiha Muslim food paradise, Kiki Florist, Breaditation Bakery)
Sejak 4 September, sekurang-kurangnya lima kes dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah sekurang-kurangnya S$32,000, menurut kenyataan media polis.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Ahad memaklumkan bahawa SAF sudah mengesan beberapa pesanan pukal palsu yang dibuat oleh individu yang mendakwa sebagai anggota tentera.
MINDEF menyatakan bahawa pihaknya sedia maklum mengenai tujuh kes seumpama ini dan sudah membuat aduan polis.
Antara perniagaan yang terjejas termasuk Breaditation Bakery, Kiki Florist dan sebuah gerai penjaja di Pasar Tiong Bahru, yang menyediakan 150 bungkus beriani ayam dan kambing sebelum menyedari pesanan itu sekadar satu penipuan semata-mata.
Pada Isnin dan Selasa, pihak polis melancarkan serbuan di sekitar Middle Road, Woodlands Street 81 dan Cantonment Road, yang membawa kepada penangkapan ketiga-tiga suspek.
Beberapa peranti elektronik dan kad prabayar turut dirampas.
“Siasatan awal mendapati bahawa mereka dipercayai bertindak atas arahan sindiket penipuan untuk melakukan penipuan tersebut,” kata polis.
Remaja lelaki berusia 16 tahun dan wanita berusia 22 tahun disyaki menyerahkan akaun bank mereka kepada sindiket tersebut untuk mendapatkan wang, manakala seorang lagi lelaki berusia 31 tahun pula membantu individu yang tidak dikenali untuk melanggani syarikat telko.
Polis menyatakan bahawa beberapa nombor telefon itu didapati mempunyai kaitan dengan kes penipuan tersebut.
<<BACA: MINDEF beri amaran pesanan palsu didakwa dibuat oleh kakitangan SAF
Penjual bunga diperdaya tempahan palsu, beberapa hari selepas insiden serupa libatkan peniaga beriani>>
Jika sabit kesalahan, pesalah yang memudahkan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali bagi sabitan pertama.
Siasatan terhadap pelibatan lelaki dan remaja itu masih dijalankan, kata polis.
Polis turut memberi amaran bahawa pihaknya memandang serius terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penipuan, dan pesalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.
“Bagi mengelakkan diri daripada bersubahat dalam kes jenayah, orang awam dinasihatkan agar sentiasa menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau nombor telefon bimbit mereka, kerana mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya ia terkait dengan jenayah.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.