Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 dibawa ke hospital selepas bas langgar perhentian teksi di stesen MRT Yishun

Tiga orang dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat selepas sebuah bas melanggar perhentian teksi di stesen MRT Yishun pada tengah hari Sabtu (6 Nov), menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Anggaran Waktu Membaca:
3 dibawa ke hospital selepas bas langgar perhentian teksi di stesen MRT Yishun

Petikan video di tempat kejadian di mana bas Tower Transit langgar tempat perhentian teksi di stesen MRT Yishun pada 6 Nov 2021 (Gambar: Raju Thenashkumar)

Diterbitkan : 06 Nov 2021 04:30PM Dikemas Kini : 06 Nov 2021 04:33PM

SINGAPURA: Tiga orang dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat selepas sebuah bas melanggar perhentian teksi di stesen MRT Yishun pada tengah hari Sabtu (6 Nov), menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di Yishun Avenue 2 pada sekitar 1.00 tengah hari.

"Sebuah bas penumpang dilihat telah melanggar tempat menanti teksi dan sebahagian bumbung perhentian itu runtuh," kata SCDF.

"Tiada sesiapa yang terperangkap di dalam bas penumpang itu."

Tower Transit dalam satu catatan di Facebook menyatakan bahawa kapten bas terlibat telah digantung kerja.

Menurut pengendali pengangkutan itu, bas nombor 969 "melanggar perhentian teksi di Yishun Avenue 2 sekitar 1.00 tengah hari, hari ini".

“Kami sedang dalam proses menghubungi mangsa yang cedera dan keluarga mereka serta membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan,” kata Tower Transit.

"Kepada mereka yang terjejas akibat kemalangan itu, kami memohon maaf."

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pemandu lelaki berusia 63 tahun dan dua pejalan kaki wanita, 60 dan 64, dalam keadaan sedarkan diri ketika mereka dibawa ke hospital.

"Siasatan polis sedang dijalankan," tambah SPF.

Encik Raju Thenashkumar, yang sedang memandu lalu kawasan itu, memberitahu Mediacorp beliau terdengar bunyi "seperti biskut dipatahkan". Beliau melihat sebuah bas dan "bumbung setinggi dua tingkat di perhentian teksi itu runtuh".

Beliau menghentikan keretanya dan ternampak seorang wanita dalam keadaan sedar tetapi kelihatan terkejut.

"Satu bahagian bumbung masih tersangkut pada bas," kata Encik Thenashkumar, sambil menambah bahawa beliau memberitahu pemandu bas supaya tidak mengundurkan kenderaannya kerana bimbang ia akan menyebabkan keseluruhan bumbung itu runtuh.

Lima atau enam orang yang lalu di situ menghubungi ambulans.

Ketika Mediacorp tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2.45 petang, beberapa pekerja kelihatan bersiap sedia untuk mengalihkan bumbung yang tumbang itu dengan sebuah kren lori.

Pegawai SCDF turut berada di tempat kejadian itu.

Mediacorp sudah menghubungi Penguasa Pengangkutan Darat bagi maklumat lanjut.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa