Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 daripada 4 kes dalam masyarakat tidak berhubung kait kes COVID-19 sebelum ini

3 kes dalam masyarakat tiada kaitan dengan mana-mana kes sebelum ini; 1 berkait kelompok Terminal Pasir Panjang.

Anggaran Waktu Membaca:
3 daripada 4 kes dalam masyarakat tidak berhubung kait kes COVID-19 sebelum ini

Park Avenue Rochester. (Gambar: Petikan dari Google Maps)

Diterbitkan : 07 May 2021 11:50PM Dikemas Kini : 07 May 2021 11:53PM

SINGAPURA: Empat kes dalam masyarakat dilaporkan hari ini, dalam kalangan 25 jangkitan baru COVID-19 yang dicatatkan di Singapura, sehingga tengah hari Jumaat (7 Mei), kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Tiga daripadanya tidak berhubung kait dengan mana-mana kes sebelum ini manakala satu lagi dikaitkan dengan kelompok di Terminal Brani dan Terminal Pasir Panjang dan juga anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

KONTAK RAPAT PEMANDU TRELER, NSF

Lelaki Singapura berusia 58 tahun itu, yang kini menganggur, merupakan anggota keluarga dan kontak serumah pemandu treler warga Singapura di Terminal Brani dan Terminal Pasir Panjang yang dilaporkan pada 5 Mei dan juga anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dilaporkan semalam (6 Mei).

Oleh kerana lelaki dikenal pasti sebagai kontak rapat pemandu treler berkenaan, dia dikuarantin pada 4 Mei.

Pada keesokan harinya dia mengalami seram sejuk dan melaporkan simptomnya.

Dia mengalami demam pada 6 Mei dan diuji bagi COVID-19. Hasil ujiannya itu positif pada hari yang sama dan dia dihantar ke Hospital Khoo Teck Phuat dengan menaiki ambulans. Keputusan ujian serologinya negatif.

TIGA KES TIDAK BERKAIT MANA-MANA KES SEBELUM INI

Satu kes melibatkan seorang penduduk tetap berusia 48 tahun yang bertugas sebagai eksekutif kanan di IGWT Pte Ltd (8 Shenton Way).

Beliau sebahagian besarnya bekerja dari rumah. Namun sekali-sekala perlu menaiki kapal atas sebab kerja. Kali terakhir beliau menaiki kapal adalah pada 1 Mac.

Lelaki itu berada di Rusia dari 30 Oktober 2020 hingga 30 Januari 2021 dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di sebuah kemudahan khas pada 13 Februari.

Beliau menjalani ujian koronavirus pada 12 Februari semasa SHN dan keputusannya negatif COVID-19.

Lelaki itu tidak mengalami sebarang gejala dan dikesan semasa menjalani ujian pada 5 Mei sebagai sebahagian daripada protokol ujian ke atas para pegawai yang menaiki kapal.

Keputusan ujiannya positif pada keesokannya harinya dan beliau dihantar dengan menaiki ambulans ke Hospital Ng Teng Fong. Keputusan ujian serologinya masih dinantikan.

Seorang pesara lelaki Singapura berusia 72 tahun juga disahkan positif namun tiada kaitan dengan kes sebelum ini.

Pada 5 Mei, beliau dihantar ke Hospital Raffles untuk mendapat rawatan bagi penyakit jantung dan kemudian diuji bagi COVID-19 pada keesokan harinya meskipun tidak bergejala. Keputusan ujiannya positif pada 7 Mei.

Nilai Ct pesara itu juga sangat tinggi dan ujian serologi lelaki itu juga positif. Beliau mungkin sedang menggugurkan cebisan RNA virus dari jangkitan lalu yang tidak lagi boleh menjangkiti orang lain, kata MOH.

Memandangkan MOH tidak dapat memutuskan dengan pasti mengenai bila beliau dijangkiti, kementerian itu akan mengambil semua tindakan kesihatan awam yang sewajarnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut MOH, pesara itu sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 2 Februari dan dos kedua pada 15 Mac.

Beliau juga kerap ke Pusat Mata di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) untuk merawat masalah matanya dan kali terakhir ke sana pada 23 April.

Beliau tidak pergi ke sebarang wad terjejas di TTSH.

MOH juga tidak menemui bukti yang mengaitkan lelaki itu dengan kelompok di hospital itu.

Baki kes dalam masyarakat melibatkan wanita Singapura berusia 53 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kemudahan SHN di Park Avenue Rochester (31 Rochester Drive).

Tugasnya tidak memerlukannya berinteraksi dengan penginap di hotel SHN itu.

Wanita itu mengalami selesema dan sakit tekak selepas habis kerja pada 5 Mei dan demam keesokan harinya.

Dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan diuji
positif pada 7 Mei dan dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH) dengan menaiki ambulans.

Wanita itu sudah menerima dos pertama vaksin COVID pada 24 Januari dan dos kedua pada 16 Februari.

4 WARGA SINGAPURA ANTARA KES IMPORT

Selain empat kes dalam masyarakat, ada 21 kes diimport yang telah dikenakan SHN atau pengasingan setibanya di Singapura, kata MOH.

Mereka termasuk empat rakyat Singapura dan 11 penduduk tetap yang pulang dari India.

Dua adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Jerman dan Maldives.

Lagi tiga melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, Myanmar dan Filipina - satu daripadanya pembantu rumah hijrahan.

Baki satu kes adalah pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India bagi majlis perkahwinannya dengan tunang beliau yang merupakan warga Singapura.

Menurut MOH, mereka yang tiba dari benua kecil India itu sudah berada di Singapura sebelum sekatan-sekatan perjalanan dilaksanakan.

2 KES KRITIKAL

MOH menyatakan bilangan kes baru dalam masyarakat telah meningkat minggu lalu, kepada 45 dalam tempoh seminggu daripada 35 kes.

Bilangan kes yang tidak berhubung kait juga meningkat daripada enam kes kepada sembilan kes dalam tempoh yang sama.

Lagi 33 kes jangkitan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhannya, 60,906 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan pulang.

Sebanyak 138 kes COVID-19 masih dirawat di hospital. Sebilangan besar berada dalam keadaan stabil atau beransur pulih. Dua kes kini berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Sebanyak 236 kes sedang menjalani pengasingan dan dirawat di kemudahan masyarakat. Mereka mengalami simptom-simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi positif COVID-19.

Sehingga hari ini, Singapura melaporkan 61,311 kes baru COVID-19 dan 31 kematian.  

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan