3 daripada 10 firma di sektor perkhidmatan akan kurangkan jumlah pekerja: tinjauan SingStat
Hampir 30 peratus syarikat dalam sektor perkhidmatan mengatakan mereka mungkin akan mengurangkan jumlah pekerja mereka antara April hingga Jun, sementara hanya tiga daripada 100 syarikat sedang meneroka untuk menambah tenaga kerja.
(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)
SINGAPURA: Hampir 30 peratus syarikat dalam sektor perkhidmatan mengatakan mereka mungkin akan mengurangkan jumlah pekerja mereka antara April hingga Jun, sementara hanya tiga daripada 100 syarikat sedang meneroka untuk menambah tenaga kerja.
Dapatan itu hasil tinjauan ke atas 1,500 syarikat dalam sektor perkhidmatan yang dijalankan Jabatan Perangkaan (SingStat). Laporannya dikeluarkan pada Khamis (30 April).
Di antara segmen tertentu dalam sektor perkhidmatan, syarikat makanan dan minuman (F&B) dan khidmat penginapan kemungkinan besar akan mengurangkan pengambilan pekerja.
Ini disebabkan ekonomi Singapura yang terjejas dek langkah-langkah bagi membendung pandemik COVID-19.
Tinjauan yang dijalankan pada bulan Mac dan April itu, juga menunjukkan bahawa prospek perniagaan bagi sektor perkhidmatan bagi tempoh April hingga September merosot, dengan 60 peratus meramalkan keadaan perniagaan yang kurang menguntungkan semasa tempoh tersebut.
SingStat menjalankan tinjauan ini setiap suku tahun untuk menilai propek perniagaan sektor perkhidmatan selama enam bulan akan datang.
Berikut adalah pecahan hasil kajian itu:
Prospek perniagaan dari April hingga September
- 60 peratus meramalkan keadaan perniagaan yang kurang memberangsangkan
- 38 peratus percaya keadaan tetap sama
- 2 peratus menjangkakan masa depan bertambah baik
Ramalan syarikat mengenai resit operasi mereka dari April hingga Jun
- 55 peratus menjangkakan pendapatan mereka merosot
- 43 peratus menjangkakan pendapatan tetap sama
- 2 peratus menjangkakan ia meningkat
Ramalan syarikat mengenai jumlah kakitangan yang diperlukan dari bulan April hingga Jun
- 27 peratus meramalkan akan mengurangkan pengambilan pekerja
- 70 peratus kemungkinan akan mengekalkan jumlah pekerja mereka
- 3 peratus menjangkakan akan mengambil lebih ramai kakitangan
Segmen dalam sektor perkhidmatan yang paling terjejas wabak COVID-19
- Makanan & Minuman
- Penginapan
- Dagangan runcit
97 peratus syarikat dalam sektor penginapan menjangkakan keadaan perniagaan akan merosot dari April hingga September disebabkan sekatan perjalanan global.
Bagi bulan April hingga Jun, 56 peratus khidmat penginapan menjangkakan akan mengurangkan pengambilan pekerja dan 90 peratus menjangkakan pendapatan merosot.
Bagi sektor F & B, 96 peratus syarikat menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih sukar dari April hingga September. Mereka juga tidak menjangka permintaan akan pulih dengan segera setelah langkah pemutus rantaian batalkan.
Dari bulan April hingga Jun, 42 peratus firma F&B besar kemungkinan mengurangkan pengambilan pekerja dan 88 peratus meramalkan pendapatan akan merosot.
85 peratus peruncit dan perniagaan dalam rantaian bekalan runcit menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih sukar dari bulan April hingga September.
Sama seperti firma F&B, mereka menjangkakan permintaan mungkin tidak pulih setelah tamat tempoh pemutus jangkitan.
Dari April hingga Jun, 27 peratus perusahaan dalam perdagangan runcit meramalkan jumlah pekerja mereka akan dikurangkan dan 82 peratus menjangkakan pendapatan mereka merosot.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, seorang jurucakap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan berkata hasil tinjauan itu "tidak mengejutkan". Ini memandangkan banyak perniagaan yang ditinjau kurang yakin akan prospek jangka pendek kerana langkah-langkah membendung penularan virus telah memberi kesan yang teruk pada perniagaan.
"Kesihatan dan keselamatan semua orang di Singapura tetap menjadi keutamaan kami. Langkah-langkah pemutus jangkitan diperlukan untuk melawan penularan COVID-19, meskipun kesannya kepada ekonomi kita, ”kata jurucakap itu.
"Jika kita semua memainkan peranan dan berjaya mengurangkan penularan dalam kalangan masyarakat, kita akan dapat mula secara beransur-ansur melonggarkan langkah-langkah yang dilaksanakan dan membuka kembali ekonomi kita dengan selamat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.