Skip to main content

Singapura

3 cikgu ini dinobat Guru Cemerlang, suntik cinta bahasa Melayu pada murid prasekolah

Pembelajaran yang dilakukan di bilik darjah tidak sekadar mengikut buku teks. Sebaliknya ia disulami dengan pelbagai kegiatan amali yang meliputi budaya dan warisan Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
3 cikgu ini dinobat Guru Cemerlang, suntik cinta bahasa Melayu pada murid prasekolah

(Dari kiri) Cikgu Almi, Cikgu Saniah dan Cikgu Iryamaya. (Gambar-gambar: MOE, NTUC First Campus - My First Skool)

SINGAPURA: Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

Lantaran itulah, tiga guru berikut ini, yang mengajar bahasa Melayu di peringkat prasekolah, mengambil pendekatan menyeluruh dalam mengajar bahasa ibunda kepada murid-murid mereka.

Mereka ialah Cikgu Almi Roafuziah Mohamed dan Cikgu Iryamaya Amin dari prasekolah PCF Sparkletots dan Cikgu Saniah Sakian dari prasekolah My First Skool.

Pembelajaran yang dilakukan di bilik darjah tidak sekadar mengikut buku teks. Sebaliknya ia disulami dengan pelbagai kegiatan amali yang meliputi budaya dan warisan Melayu.

Matlamatnya adalah, apabila murid-murid mula kenal pelbagai aspek budaya Melayu, barulah mereka jatuh cinta sekali gus timbul rasa selesa untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

Maka, selayaknyalah ketiga-tiga guru tersebut diiktiraf sebagai Guru Cemerlang atas dedikasi dan komitmen mereka untuk menyuntik rasa cinta pada bahasa ibunda ke dalam diri anak-anak didik mereka.

Mereka adalah antara tujuh guru yang dipilih menerima anugerah tersebut tahun ini.

Lagi tujuh guru prasekolah lain pula diberi penghargaan menerusi Anugerah Merit.

Kesemua 14 guru itu dipilih daripada 84 pencalonan yang diterima tahun ini.

Anugerah tahunan itu diberikan kepada guru yang layak menerusi kerjasama Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Jawatankuasa Penggalakan Pembelajaran Bahasa Cina (CPCLL) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Tamil (TLLPC). 

Ia diberikan sempena Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) yang kesembilan tahun ini. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, simposium tahun ini diadakan dalam bentuk online atau e-MTLS dan dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Lawrence Wong hari ini (29 Ogos).

CIKGU ALMI ROAFUZIAH MOHAMED

Bagi Cik Almi Roafuziah Mohamed, penting untuk beliau cuba memahami sedikit sebanyak latar belakang muridnya agar dapat menyesuaikan pembelajaran bahasa Melayu mengikut tahap keselesaan mereka.

“Cabaran bagi saya sebab kadang-kadang mereka tidak faham bahasa Melayu, yang asas pun mereka tidak faham. Jadi kadangkala saya harus gunakan gerak gaya badan saya supaya mereka faham. Saya gunakan visual jadi mereka boleh lihat dan fahami dan untuk bertutur dalam bahasa Melayu saya tidak memaksa tetapi saya harus tegaskan diri saya untuk bertutur dalam bahasa Melayu,” kata Cikgu Almi kepada BERITAmediacorp.

Beliau juga menerapkan nilai-nilai budaya Melayu, seperti tolong-menolong, menghormati orang tua dan menghargai orang lain, untuk mendorong murid-murid berinteraksi dalam bahasa ibunda.

Cikgu Almi Roafuziah Mohamed, guru PCF Sparkletots Sengkang West. (Gambar: MOE)

Usaha Cikgu Almi yang sudah menjadi guru bahasa Melayu di prasekolah PCF Sparkletots Sengkang West selama empat tahun itu ternyata membuahkan hasil apabila murid-murid beliau dengan sendirinya menunjukkan kesungguhan untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

“Ada yang minta izin ibu mereka untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi saya bersyukur anak murid saya ingin bertutur dalam bahasa Melayu di rumah. Saya boleh lihat mereka lebih yakin nak bertutur. Sudah tentu saya gembira,” kata Cikgu Almi sambil tersenyum lebar.

Cikgu Almi turut melahirkan rasa syukur atas anugerah yang diterimanya dan berkongsi nasihat kepada guru baru:

"Memang pada mulanya sukar sedikit tapi jangan putus asa. Kalau kita betul-betul minat nak lihat murid kita sungguh-sungguh berbual bahasa Melayu, jadi kita pun jangan putus asa. Kalau kita ingatkan murid kita jangan putus asa, kita pun perlu tunjukkan bahawa kita tidak putus asa. Jadi murid-murid kita dapat berjaya".

CIKGU IRYAMAYA AMIN

Setiap hari Jumaat, murid-murid Cikgu Iryamaya Amin begitu ghairah untuk menyertai kelas bahasa Melayu kerana ada Hari Warisan.

Manakan tidak, mereka seolah-olah dibawa ke satu alam yang lain - alam yang diserikan dengan suasana kemelayuan.

Cikgu Iryamaya menggunakan peluang itu untuk memancing minat anak-anak muridnya kepada bahasa dan budaya Melayu.

“Pada Hari Warisan itu mereka didedahkan dengan pelbagai barang-barang tradisi, yang saya akan bawa dari rumah atau saya pinjam daripada mak saya. Baru penggal kelmarin, saya adakan Hari Warisan mengenai kuih muih tradisional Melayu. Jadi bila saya tunjukkan kuih muih, mereka ada yang kata ‘oh! Saya pernah makan ini!”

“Jadi ada berbagai-bagai reaksi dan bila saya bawa benda-benda yang tradisi ini saya dapat lihat murid-murid lebih banyak berinteraksi berkongsi pengalaman daripada rumah, daripada keluarga,” kata Cikgu Iryamaya, yang mengajar di PCF Sparkletots di Blok 755 Sembawang.

Cikgu Iryamaya Amin, guru prasekolah PCF Sparkletots Blok 755 Sembawang. (Gambar: MOE)

Sekalipun demikian beliau akur ada segelintir murid yang mungkin belum dapat menggarap sepenuhnya bahasa Melayu, maka beliau tidak memaksa.

“Ada murid yang lebih cenderung dalam bahasa Inggeris. Ada yang berkongsi dalam bahasa Inggeris. Tapi saya tak larang mereka sebab niat saya ialah untuk mereka minat datang ke kelas Melayu setiap hari. Walaupun kosa kata mereka kurang. Pada saya, saya mahu mereka seronok dalam kelas bahasa Melayu,” kata beliau kepada BERITAmediacorp.

Cikgu Iryamaya berkata beliau berasa "sangat terharu" kerana mendapat penghargaan atas apa yang beliau dilakukan selama 17 tahun sebagai pendidik.

CIKGU SANIAH SAKIAN

Daya kreativiti Cikgu Saniah Sakian sememangnya tiada tandingan. Beliau sering mencari ilham untuk mewujudkan suasana pembelajaran bahasa Melayu yang sangat inklusif.

Ini dilakukan dengan menerapkan muzik, tarian dan drama Melayu ke dalam sesi pembelajaran seharian. Antara yang menarik, Cikgu Saniah berubah menjadi seorang cef! Beliau memasak kuih tradisional Melayu, iaitu Getuk Ubi, di dalam bilik darjah.

Cikgu Saniah menunjukkan cara membuat Getuk Ubi. (Gambar: NTUC First Campus, My First Skool)

Ini menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam kepada murid-muridnya tentang kuih yang mungkin belum pernah mereka rasa atau lihat itu. Daripada sesi tersebut, murid-murid beliau mempelajari kosa kata baru menerusi penjelasan bahan-bahan dan proses membuat kuih tersebut.

Tambah menarik lagi, Cik Saniah juga membangkitkan keghairahan murid-murid dengan mengajak mereka menjadi seorang penulis skrip bagi pertunjukan wayang kulit Sang Nila Utama dalam bilik darjah. Beliau mendorong anak-anak muridnya untuk berbincang dan memikirkan jalan cerita menerusi penggunaan bahasa Melayu.

Cikgu Saniah bersama murid dalam sesi wayang kulit. (Gambar: NTUC First Campus, My First Skool)

Cikgu Saniah juga mementingkan kerjasama dengan ibu bapa. Selain mengajak mereka mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan seperti sambutan Hari Raya di sekolah, beliau turut menggalak mereka untuk bertutur dalam bahasa Melayu di rumah.

Sepanjang kerjayanya sebagai guru prasekolah, Cikgu Saniah, yang kini mengajar di My First Skool di Blok 54 Chin Swee Rd, menerima banyak maklum balas positif daripada ibu bapa.

Cikgu Saniah Sakian, guru prasekolah My First Skool Blok 54 Chin Swee Rd. (Gambar: NTUC First Campus, My First Skool)

Salah satu pengalaman manisnya adalah apabila menerima surat daripada waris bekas muridnya yang sudah berada di sekolah rendah. Mereka melahirkan rasa teima kasih kerana menerusi pembelajaran di prasekolah dengan Cikgu Saniah, anak mereka kini mampu bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa Melayu. Malah dipilih menjadi pemimpin bahasa ibunda di sekolahnya!

Cikgu Saniah menyertai bidang pendidikan sejak 20 tahun lalu, didorong keinginan untuk membantu kanak-kanak belajar bahasa Melayu agar dapat dimanfaatkan oleh generasi masa akan datang.

SIMPOSIUM BAHASA IBUNDA KE-9

Simposium Bahasa Ibunda tahun ini terus menyatukan sekolah-sekolah dan masyarakat untuk berkongsi usaha bersama dalam menggalak penggunaan bahasa ibunda menerusi program-program kreatif dan menarik.

Sesi perbincangan panel kali ini bertajuk 'Creating an Immersive Environment for the Learning of Our Mother Tongue Languages' (Mewujudkan Sekitaran Mengasyikkan bagi Pembelajaran Bahasa Ibunda Kita).

Menerusi sesi tersebut, ahli panel yang juga pakar dalam bidang masing-masing berkongsi pandangan dan pengalaman mereka serta tips untuk mewujudkan sekitaran yang 'memanggil' untuk anak-anak belajar bahasa ibunda baik di rumah mahupun di luar dalam kalangan masyarakat.

Sebuah galeri maya diadakan, dengan 35 perkongsian dipamerkan. Ini termasuk amalan-amalan, wadah serta program berkaitan pembelajaran bahasa ibunda.

Terdapat juga 18 sesi perkongsian oleh pakar dalam bidang pendidikan dan selebriti yang mempunyai anak mengenai cara-cara kreatif untuk membangkitkan semangat ingin tahun ke dalam diri kanak-kanak untuk mempelajari bahasa ibunda.

Satu permainan interaktif online dengan lapan misi juga akan dilancarkan dalam bulan November tahun ini di laman e-MTLS.

Jika anda ingin mengikuti mana-mana sesi perbincangan dan perkongsian itu, rakamannya akan dimuat naik ke laman www.mtls.edu.sg sehingga awal 2021. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita