Skip to main content

Singapura

3 cedera selepas bas Tower Transit rempuh pekerja penghantaran makanan McDonald's; pemandu bas digantung tugas

Anggaran Waktu Membaca:
3 cedera selepas bas Tower Transit rempuh pekerja penghantaran makanan McDonald's; pemandu bas digantung tugas

Gambar: SG Road Vigilante/Facebook

SINGAPURA: Seorang pemandu bas Tower Transit yang berusia 68 tahun digantung tugas selepas merempuh seorang pekerja penghantaran makanan McDonald's pada Isnin (25 Sep).

Nahas berangkai itu menyaksikan penunggang motosikal itu dan dua lagi individu cedera dalam kemalangan tersebut.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah kereta, motosikal dan bas di Canberra Road menghala ke North Road pada sekitar 10.30 pagi pada Isnin.

Rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook Sg Road Vigilante menunjukkan khidmat bas 980 menghampiri bahagian belakang pekerja penghantaran makanan yang menunggang sebuah motosikal. Bas tersebut dipandu di lorong tengah jalan raya tersebut dengan agak laju sebelum merempuh penunggang motosikal tersebut, yang berhenti di lampu merah.

Polis dan SCDF menyatakan bahawa penunggang motosikal berusia 38 tahun itu berada dalam keadaan sedar ketika dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat. Seorang jurucakap Tower Transit Singapore (TTS) mengesahkan pada Selasa bahawa penunggang motosikal tersebut sudahpun dibenarkan pulang dari hospital.

Pemandu kereta tersebut dan seorang bayi yang berada dalam bas berkenaan bersama ibunya juga mendapatkan rawatan perubatan berikutan rempuhan itu, menurut jurucakap tersebut.

Menurutnya, pihak TTS telah menghubungi mereka untuk memohon maaf serta membantu mereka bagi menguruskan tuntutan bayaran perubatan mereka.

"Kami mendoakan semoga mereka cepat sembuh dan akan terus mendapatkan perkembangan daripada mereka."

Kapten bas terbabit didapati bersalah dan turut digantung tugas sementara dia menunggu tindakan disiplin terhadapnya.

Dia sedang membantu dalam siasatan polis yang sedang dijalankan.

Mediacorp sudahpun menghubungi McDonald's Singapore untuk mengulas mengenai nahas berkenaan.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita