3 cawangan F&B diarah tutup gara-gara benarkan pelanggan duduk makan meski belum divaksin
Sebanyak tiga cawangan makanan dan minuman (F&B) diarah tutup selepas membenarkan para pelanggan, yang tidak memenuhi syarat-syarat status vaksinasi, untuk duduk makan di premis mereka.

Authentic Mun Chee Kee King of Pig’s Organ Soup di Jalan Besar (kiri) dan Bigg Boss di Clive Street (kanan). (Gambar: STB, Google Maps Street View)
SINGAPURA: Sebanyak tiga cawangan makanan dan minuman (F&B) diarah tutup selepas membenarkan para pelanggan, yang tidak memenuhi syarat-syarat status vaksinasi, untuk duduk makan di premis mereka.
Demikian menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) hari ini (27 Ogos).
No Name Bar di Prinsep Street, Authentic Mun Chee Kee King of Pig's Organ Soup di Jalan Besar dan Bigg Boss di Clive Street gagal memeriksa status vaksinasi para pelanggan sebelum mereka memasuki tempat makan dan membenarkan pelanggan "tanpa status sudah divaksin" untuk duduk makan bersama, menurut kementerian itu.
No Name Bar juga melengahkan proses untuk para pegawai penguatkuasaan masuk ke premisnya selain gagal memastikan para pelanggan mematuhi saiz kumpulan yang dibenarkan dan tidak melaksanakan SafeEntry bagi para pelanggan, tambah MSE.
Ketiga-tiga cawangan sudahpun diarah tutup selama 10 hari.
Di bawah sekatan-sekatan sekarang ini, kegiatan duduk makan di cawangan F&B dibenarkan hanya bagi kumpulan-kumpulan sehingga lima orang bagi mereka yang sudah lengkap divaksin, mereka yang sudah sembuh daripada COVID-19 dan mereka yang mempunyai notis pengecualian ujian praacara yang sah serta mereka yang diuji negatif.
Sekalipun demikian, sesiapa sahaja dibenarkan duduk makan di pusat-pusat penjaja dan kedai-kedai kopi tanpa mengira status vaksinasi tetapi dalam kumpulan sehingga dua orang saja.
MSE menyatakan ia mempertingkat penguatkuasaan sepanjang dua minggu lalu dengan agensi-agensi menjalankan pemeriksaan di hampir 700 premis dan memeriksa lebih 2,500 individu bagi memastikan pematuhan kepada langkah-langkah berdasarkan status vaksin.
LANGGAR LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT
Dalam insiden berasingan, tujuh lagi cawangan F&B diarah tutup kerana melanggar beberapa langkah pengurusan selamat COVID-19.
Pesalah berulang, Haru di Magazine Road melengahkan proses untuk para pegawai penguatkuasaan memasuki premisnya dan memberi maklumat palsu bahawa tiada pelanggan di dalam, dedah MSE.

Haru di Magazine Road (kiri) dan Beer Belly Lok Lok Bar di Tai Seng Point (kanan). (Gambar-gambar: URA, SFA)
Satu lagi pesalah berulang adalah Glassy Junction Pub & Restaurant di Sam Leong Road kerana gagal mengurangkan interaksi antara kakitangan dengan pelanggan dan memainkan muzik di premis tersebut, menurut kementerian itu.

Glassy Junction Pub & Restaurant di Sam Leong Road. (Gambar: STB)
Perniagaan-perniagaan itu diarah tutup 30 hari.
MSE juga mendapati bahawa Beer Belly Lok Lok Bar di Tai Seng Point menjual atau membenarkan pelanggan minum arak selepas pukul 10.30 malam dan juga memainkan muzik manakala Chips Cafe and Bar di Ming Arcade pula gagal memastikan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter antara pelanggan yang duduk makan di sana.

Chips Cafe and Bar di Ming Arcade. (Gambar: STB)
Kedua-dua tempat minum arak itu diarah tutup 20 hari.
Kementerian berkenaan menambah bahawa Bar-beque di Prinsep Street juga gagal memastikan para pelanggan mematuhi saiz kumpulan yang dibenarkan.
Lotus@Norris di Norris Road pula gagal memastikan pelanggan berkumpul dalam saiz kumpulan yang dibenarkan dan juga tidak memastikan pemeriksaan SafeEntry dan suhu badan dilakukan bagi mereka yang memasuki premis sebelum keperluan melakukan sedemikian digugurkan, menurut MSE.
Restoran Thalappakatti di Kitchener Road juga gagal mengurangkan interaksi fizikal antara pelanggan yang sedang duduk, tambah kementerian tersebut.
Perniagaan-perniagaan itu diberi arahan tutup selama 10 hari.
TCC di International Building didenda S$2,000 kerana gagal memastikan jarak sekurang-kurangnya semeter antara pelanggan yang sedang duduk. Ini merupakan kesalahan keduannya, menurut MSE.
Sepuluh individu dikenakan denda kerana melanggar beberapa langkah-langkah jarak selamat termasuk gagal memakai pelitup apabila tidak makan atau minum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.