Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 cara ini perlu untuk persiap belia, tenaga kerja bagi masa depan

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menekankan tiga cara yang perlu dilakukan untuk mempersiapkan golongan belia dan tenaga kerja untuk masa hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:
3 cara ini perlu untuk persiap belia, tenaga kerja bagi masa depan

Simposium Pendidikan MENDAKI pada 30 Jun 2021.

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menekankan tiga cara yang perlu dilakukan untuk mempersiapkan golongan belia dan tenaga kerja untuk masa hadapan.

Ketiga-tiga cara itu adalah dengan memberi mereka asas yang kuat, memupuk tabiat pembelajaran sepanjang hayat dan mengupayakan mereka untuk memburu aspirasi mereka.

DPM Heng berucap demikian di Simposium Pendidikan MENDAKI pagi tadi (30 Jun).

DAYA BEKERJA SEPANJANG HAYAT KINI LEBIH PENTING

Menurut Encik Heng, zaman "pekerjaan sepanjang hayat" - iaitu bekerja di sesebuah syarikat sehingga bersara - kini sudah berlalu.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa yang lebih penting sekarang ini ialah "daya bekerja sepanjang hayat".

Untuk mencapai daya bekerja sepanjang hayat yang boleh memberi akses kepada pekerjaan-pekerjaan baru masa depan, menghadiri "beberapa" program latihan sahaja tidak mencukupi, tekan Encik Heng.

Sebaliknya golongan belia dan para pekerja perlu mengambil sikap berfikir bagi jangka panjang.

"Saya menggalakkan semua orang, terutama mereka yang baru sahaja mendapat pekerjaan, untuk mempunyai kesabaran dan ketabahan untuk memperkasakan kemahiran bagi jangka panjang.

"Mulakan dengan meneroka potensi penuh sebuah kerjaya dapat tawarkan, dan bukan pada gaji permulaan. Sebilangan sektor mungkin tidak menggajikan dengan lumayan pada mulanya, namun menawarkan peluang-peluang peningkatan dan pengetahuan," saran beliau.

"Jika anda bekerja keras untuk mempertingkatkan kemahiran mendalam dan menimba pengalaman, anda mampu untuk mempunyai kerjaya yang meyakinkan dengan gaji lumayan, meskipun ganjarannya bukan secara serta-merta."

ASAS KUAT, PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT, KEJAR ASPIRASI

Encik Heng menambah untuk mendorong golongan muda dan pekerja bagi masa depan, mereka harus diberikan asas yang kuat sejak dari lahir lagi dan mengiktiraf bahawa setiap anak punya bakat-bakat yang unik dan berlainan.

Lantaran itu, lebih banyak perlu dilakukan demi meluaskan laluan mereka untuk berjaya.

DPM Heng juga berkata para belia harus diupayakan untuk mengejar aspirasi mereka.

Aspirasi itu perlu digalakkan dan dipupuk dan beliau gembira MENDAKI punya pelbagai inisiatif baik untuk membantu belia mempunyai cita-cita besar menerusi inisiatif seperti CLF Labs dan Pejabat Mentoring Belia.

KEMAJUAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DIIKTIRAF

Dalam pada itu, Encik Heng juga menyentuh tentang kejayaan dan kemajuan memberangsangkan masyarakat Melayu/Islam sebagaimana dipaparkan dapatan Banci Penduduk 2020 baru-baru ini.

Menurut beliau 80% di belia Melayu berusia 25 hingga 34 tahun mempunyai kelulusan pos menengah atau lebih tinggi pada tahun 2020, meningkat daripada 60% sedekad lalu.
"Sepanjang beberapa tahun ini, masyarakat Melayu/Islam telah menunjukkan kemajuan yang sangat baik. MENDAKI telah memainkan peranan penting dalam usaha menghasilkan Masyarakat Gemilang ini. Terdapat ramai suri teladan di dalam masyarakat Melayu/Islam, dan saya ingin menggalakkan anda untuk tampil membimbing generasi seterusnya," ujar Encik Heng.

"Kepada belia kita, kami akan bekerja bersama anda agar anda dapat mencapai impian anda dan membina masa depan yang lebih baik untuk kita semua."

Menurut Encik Heng kemajuan luar biasa itu akan mendorong masyarakat Melayu untuk mencapai kecemerlangan lebih besar lagi.

Simposium Pendidikan MENDAKI edisi kelima ini dihadiri 600 peserta termasuk pemimpin masyarakat, pengamal pendidikan dan ahli akademik terkemuka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan