Skip to main content

Singapura

3 beradik warga Amerika mengaku bersalah miliki pisau di Orchard Plaza

Anggaran Waktu Membaca:
3 beradik warga Amerika mengaku bersalah miliki pisau di Orchard Plaza

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 06 Dec 2024 09:23AM Dikemas Kini : 06 Dec 2024 09:24AM
SINGAPURA: Tiga adik-beradik warga Amerika Syarikat yang sedang bercuti di Singapura mengaku bersalah kerana memiliki pisau semasa bersemuka dengan pemilik sebuah gerai menjual bubur di Orchard Plaza.

Pada Khamis (5 Dis), Albert Max Martinez-Arizala, 25 tahun, Alexis Jesus Martinez-Arizala, 21 tahun dan Alejandro Martinez-Arizala Jr, 18, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan memiliki senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Albert dijatuhi hukuman penjara enam minggu manakala Alexis, empat minggu penjara. Alejandro pula dikenakan perintah tahanan singkat (SDO) selama 14 hari.

Pesalah yang dikenakan SDO tidak mempunyai rekod jenayah selepas dibebaskan.

Ketiga-tiga warga Amerika itu hadir di Mahkamah Negara dengan berpakaian sut, dan ditemani anggota keluarga mereka.

BERGADUH DI GERAI BUBUR

Mahkamah diberitahu bahawa adik-beradik itu tiba di Singapura pada 26 Julai.

Selepas mendaftar masuk ke hotel mereka, adik-beradik itu pergi ke dua kelab malam pada sekitar tengah malam. Pada kira-kira jam 5.00 pagi pada 27 Jul, mereka menuju ke kelab malam ketiga di kawasan Orchard, tetapi menyedari ia sudah ditutup.

Albert meninggalkan adiknya untuk mengeluarkan wang dan mengambil masa lebih sejam kerana menghadapi masalah di mesin ATM.

Semasa menunggu abangnya itu, Alexis dan Alejandro terjumpa gerai bubur Tai Heng Teochew di tingkat satu Orchard Plaza.

Mereka menghampiri dua wanita yang duduk di meja di gerai itu. Alexis bersandar pada papan pembahagi ruang yang boleh bergerak, sambil bercakap dengan mereka.

Pemilik gerai, Encik Zhang Zhiqiang, memberitahu Alexis supaya tidak bersandar pada papan itu kerana ia berbahaya.

Alexis memarahi Encik Zhang yang turut membalas dengan marah.

Seorang lagi lelaki, yang mengenalkan dirinya sebagai teman lelaki salah seorang daripada dua wanita itu, bertanya sama ada Alexis dan Alejandro mengenali temanitanya itu. Mereka menjawab tidak, tetapi menambah mereka ingin mengenali wanita itu.

Pertengkaran berlaku dan dua beradik itu memberi isyarat untuk bergaduh.

Sekurang-kurangnya tiga orang yang lalu di situ cuba menenangkan keadaan, dan dua beradik itu meninggalkan tempat tersebut beberapa minit kemudian.

Apabila dua beradik itu berjumpa abang mereka, Alexis dan Alejandro berbohong dan berkata mereka diserang lima orang kerana bersandar pada papan di sebuah gerai makanan.

Alexis dan Alejandro juga berkata mereka mahu bersemuka dengan 'penyerang' mereka. Albert setuju selepas melihat adiknya yang begitu marah.

Bimbang, jumlah 'penyerang' mereka yang lebih ramai, adik beradik itu pergi ke sebuah pasar raya berdekatan dan membeli tiga bilah pisau, kuali dan sebotol cecair pencuci bilik mandi dengan harga hampir S$130. Setiap pisau mempunyai bilah sepanjang 18sm.

Adik-beradik itu kembali ke gerai tersebut pada sekitar 9.00 pagi. Terdapat sekurang-kurangnya sembilan pelanggan ketika itu.

Adik beradik itu mendesak untuk berjumpa pemilik gerai tersebut.

Albert mengacukan pisau dengan cara mengancam, kemudian mengangkat kuali dan pembersih bilik air sambil melihat ke arah seorang pekerja.

Pekerja itu berkata dia tidak tahu, dan memberitahu mereka untuk pergi dari situ.

Seorang pemilik bersama gerai berkenaan ternampak pisau yang dibawa adik-beradik tersebut dan menghubungi polis.

Polis tiba di gerai itu tidak lama kemudian dan berjaya mengesan Alexis dan Alejandro di Orchard Point pada kira-kira jam 9.20 pagi.

Mereka juga menemui dan merampas pisau dan kuali.

Adik-beradik itu ditangkap sekitar tengah hari pada hari yang sama.

Sesiapa yang didapati memiliki senjata yang mungkin menyebabkan kematian, tanpa kebenaran atau tujuan yang sah, boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita