Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 bekas pekerja bank antara 9 didakwa perdaya Citibank beri pinjaman peribadi S$206,000

Sembilan lelaki, termasuk tiga bekas pekerja bank, didakwa di mahkamah pada Khamis (9 Dis) atas tuduhan bersubahat memperdaya Citibank untuk mengeluarkan lebih S$206,000 dalam penipuan pinjaman peribadi.

Anggaran Waktu Membaca:
3 bekas pekerja bank antara 9 didakwa perdaya Citibank beri pinjaman peribadi S$206,000

Gambar fail sebuah cawangan Citibank (Gambar: AP Photo/Mark Lennihan)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 01:46PM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 01:55PM

SINGAPURA: Sembilan lelaki, termasuk tiga bekas pekerja bank, didakwa di mahkamah pada Khamis (9 Dis) atas tuduhan bersubahat memperdaya Citibank untuk mengeluarkan lebih S$206,000 dalam penipuan pinjaman peribadi.

Tiga bekas pekerja bank itu adalah: Kirk Chua Min Xuan, 28 tahun, yang dikenakan lapan tuduhan bersubahat untuk menipu, Kurumoorthy Chandran, 26 tahun, yang dikenakan tiga tuduhan serupa, dan Jim Bryan Sim Jun Hong, 26 tahun, yang dihadapkan satu tuduhan menipu.

Antara individu yang turut didakwa pada Khamis adalah pemohon pinjaman Navenkumar Ramakrishnan, 28 tahun, Noah Loo Yu Hong, 27 tahun, dan Foo Jin Tai, 27 tahun.

Lagi tiga lelaki adalah: Yap Siang Eugene, 27 tahun, Chua Hong Wei, 28 tahun, dan Ng Jia Hao, 25 tahun.

Menurut kertas pertuduhan, lelaki-lelaki berkenaan bersubahat menipu Citibank pada September 2018 dengan membantu mereka yang terlibat untuk menyerahkan dokumen pendapatan atau Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang palsu kepada bank bagi mendapatkan pinjaman.

Bank itu diperdaya untuk mengeluarkan jumlah antara S$11,780 hingga S$24,795 kepada 14 orang, berdasarkan dokumen palsu yang menyatakan gaji asas bulanan para pemohon iaitu antara S$6,200 dengan S$10,200.

Dalam kalangan sembilan lelaki itu, Kirk Chua dikenakan paling banyak tuduhan. Dia dituduh terlibat dalam lapan persubahatan berasingan untuk menipu Citibank bagi mengeluarkan pinjaman sedemikian.

Dalam salah satu skim itu, Kirk Chua didakwa berkomplot dengan Muhammed Kamarul Ahmad Kamal serta dua lelaki, yang hanya dikenali sebagai "Charles" dan "Jackson", untuk memperdaya Citibank sekitar 18 September 2018.

Sebagai sebahagian daripada komplot itu, Kamarul didakwa menyerahkan dokumen pendapatan palsu yang menyatakan bahawa dia bekerja dengan Cognizant Technology Solutions dengan gaji asas bulanan sebanyak S$10,200 pada Jun 2018, Julai 2018 dan Ogos 2018. Bank itu diperdaya untuk memberinya S$24,795.

Dokumen mahkamah pada peringkat awal pertuduhan ini tidak mendedahkan bagaimana kesalahan itu terbongkar. Sembilan lelaki itu akan dihadapkan lagi ke mahkamah pada Januari.

Jika didapati bersalah bersubahat untuk menipu, lelaki-lelaki terbabit berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap tuduhan.

Mediacorp sudahpun menghubungi Citibank untuk mendapatkan maklumat lanjut. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan