Skip to main content

Singapura

3 bekas kakitangan SMRT dipenjara kerana tipu syarikat lebih S$4 juta

Dua kakitangan SMRT Trains yang bertugas dalam bahagian yang mengendalikan penyelenggaraan landasan MRT menubuhkan sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama orang lain untuk mendapatkan kerja secara rahsia daripada majikan mereka sendiri.
Anggaran Waktu Membaca:
3 bekas kakitangan SMRT dipenjara kerana tipu syarikat lebih S$4 juta
Bekas pengurus bahagian SMRT Trains, Jamalludin Jumari, tiba di Mahkamah Negara pada 12 November 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Dua kakitangan SMRT Trains yang bertugas dalam bahagian yang mengendalikan penyelenggaraan landasan MRT menubuhkan sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama orang lain untuk mendapatkan kerja secara rahsia daripada majikan mereka sendiri.

Kedua-duanya kemudian melibatkan seorang lagi pekerja SMRT serta individu keempat sebagai wakil rasmi syarikat tersebut dan menipu SMRT lebih S$4 juta, termasuk tender untuk penyokong landasan (timber sleeper) bernilai S$3 juta.

Keempat-empat lelaki itu menafikan pelbagai tuduhan bersubahat untuk menipu dalam perbicaraan yang berlangsung selama beberapa tahun, sebelum akhirnya didapati bersalah.

Pada Rabu (12 Nov), keempat-empat individu dijatuhi hukuman penjara yang berbeza-beza.

Kakitangan dengan pangkat paling tinggi, iaitu bekas pengurus bahagian Cawangan Jalan Tetap SMRT Trains, rakyat Singapura Jamalludin Jumari, 68 tahun, dikenakan hukuman penjara selama empat tahun dan sembilan bulan.

Cawangan itu bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan landasan MRT.

Hukuman sama dijatuhkan ke atas rakan subahatnya, iaitu bekas penolong jurutera di bahagian yang sama, rakyat Singapura, Zakaria Mohamed Shariff, 67 tahun.

Pekerja ketiga yang terbabit dalam skim tersebut, rakyat Singapura Zulkifli Marwi, 60 tahun, merupakan pengurus laluan (line manager) di bahagian yang sama.

Dia melaporkan diri kepada Jamalludin dan menyertai komplot untuk menyelindung kepentingan Jamalludin dan Zakaria daripada SMRT.

Lelaki keempat, iaitu warga Singapura Akbar Ali Tambishahib, 68 tahun, terbabit dalam skim itu sebagai pengarah rasmi syarikat berkenaan, Enovation Industries dan sebuah lagi syarikat yang ditubuhkan kemudian iaitu Enovation Technologies.

Dia adalah rakan Zakaria sejak kecil lagi dan bukan seorang pekerja SMRT.

Hakim mendapati Zulkifli dan Akbar mempunyai tahap kesalahan yang lebih rendah berbanding dua individu yang lain dan menjatuhkan hukuman penjara 26 bulan ke atas mereka.

Kecuali Zulkifli, lagi tiga individu itu mengatakan hasrat untuk mengemukakan rayuan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita