3 anak kucing diberi ubat tidur, disembunyi bawah permaidani kereta di Pusat Pemeriksaan Woodlands
Tiga anak kucing dijumpai disembunyikan di bawah permaidani sebuah kereta yang berdaftar di Singapura di Pusat Pemeriksaan Woodlands minggu ini, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (23 Ogos).

Tiga anak kucing dijumpai disembunyikan di bawah permaidani sebuah kereta. (Gambar: ICA)
SINGAPURA: Tiga anak kucing dijumpai disembunyikan di bawah permaidani sebuah kereta yang berdaftar di Singapura di Pusat Pemeriksaan Woodlands minggu ini, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (23 Ogos).
Semasa satu pemeriksaan kenderaan pada Selasa, para pegawai ICA mendapati penumpang kenderaan itu kelihatan "gelisah dan elak daripada bertentang mata".
Para pegawai kemudian menemui tiga anak kucing yang masih hidup dibalut dengan kain berwarna hitam dan disembunyikan di bawah permaidani di tempat duduk penumpang di depan. Anak kucing itu kelihatan seperti diberikan ubat tidur, menurut ICA.
Dua lelaki - pemandu rakyat Singapura berusia 21 tahun dan penumpangnya, juga rakyat Singapura berusia 20 tahun - dirujuk ke Lembaga Taman Negara (NParks)
bagi siasatan lanjut.
"Anak-anak kucing itu kini dijaga dan dikuarantin NParks, dan akan ditempatkan semula," menurut ICA dalam satu catatan Facebook.
ICA menambah haiwan-haiwan yang diseludup tidak mempunyai status kesihatan yang jelas dan mungkin boleh membawa penyakit seperti penyakit anjing gila ke Singapura.
Mereka yang didapati bersalah mengimport haiwan atau burung yang masih hidup ke Singapura secara haram boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 dan/atau dipenjara sehingga setahun.
Mereka yang didapati bersalah menganiaya haiwan boleh didenda sehingga S$15,000, dijatuhi hukuman penjara sehingga 18 bulan, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.