Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 aktivis seni, pendidikan dilantik Duta Bahasa 2021

Bulan Bahasa akan kembali lebih kukuh dan padu tahun ini dengan edisi 2021 menjadi tahun kedua ia diadakan secara maya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bulan Bahasa akan kembali lebih kukuh dan padu tahun ini dengan edisi 2021 menjadi tahun kedua ia diadakan secara maya.

Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2021, Rahayu Mahzam menjanjikan demikian bagi kempen yang akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 10 Oktober 2021.

Bagi memastikan masyarakat kekal selamat dan sejahtera, rakan-rakan Bulan Bahasa akan menyediakan program-program digital dan pelbagai acara secara maya untuk dinikmati semua.

Tahun ini juga, tiga personaliti seni tempatan dilantik sebagai Duta Bahasa bagi kempen Bulan Bahasa 2021.

Mereka adalah pengamal dan penyelidik seni, Dr Noramin Farid, penyanyi dan pendidik, Hyrul Anuar dan personaliti tempatan dan pengarah kreatif, Marina Yusoff.

Ketiga-tiga menerima pelantikan mereka secara rasmi menerusi satu sidang media yang diadakan secara online pada Jumaat (16 Jul).

Antara sajian menarik tahun ini termasuk sebuah bengkel wayang kulit, bengkel mempelajari tentang persembahan radio dan pertandingan mereka tarian Melayu.

Acara pelancaran rasmi Bulan Bahasa juga sekali lagi akan ditayangkan di saluran Suria pada Sabtu (4 Sep), jam 8.30 malam. Ia akan menampilkan para Rakan Bahasa, Duta Bahasa serta penyanyi Ramli Sarip.

Bagi memeriahkan lagi sambutan, orang ramai diajak untuk menghantar rakaman video mereka menyanyikan lagu tema Bulan Bahasa yang berjudul 'Bahasa Menjunjung Budaya'. Video-video itu akan disertakan dalam segmen Koir Maya semasa acara pelancaran tersebut.

Orang ramai boleh mendapatkan butiran lanjut di laman ini: https://tinyurl.com/bb21koir.

"Tahun lalu adalah tahun yang amat mencabar dan mereka perlu beranjak dan cuba mencari sesuatu yang lain dan baru untuk mendekatkan diri pada masyarakat. Mereka telah menggunakan banyak landasan baru di Facebook, di Zoom dan sebagainya dan tahun ini kita lihat mereka dapat mengasah kemampuan itu. Kita dapat lihat lebih banyak acara di dunia digital. Kita harapkan ada juga kepelbagaian dan sesuatu yang lebih menarik daripada rakan-rakan kerja kita," kata Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2021, Cik Rahayu Mahzam.

Sejak dijadikan sebagai acara tahunan pada 2011, Bulan Bahasa terus menarik minat, penyertaan dan sokongan pelbagai lapisan masyarakat. Cik Rahayu berharap, usaha ini akan terus mendorong masyarakat untuk melestarikan penggunaan Bahasa Melayu.

"Saya rasa ini adalah sesuatu yang menunjukkan bagaimana masyarakat kita ini adalah sebuah masyarakat yang dapat bergabung tenaga melakukan usaha ini bersama kerana sememangnya usaha ini tidak dapat kita lakukan sendirian. Saya rasa ini adalah peluang untuk kita terus menguatkan ukhwah dan juga kekuatan dalam masyarakat kita untuk mencapai cita kita, untuk melihat pelbagai citra dalam masyarakat kita, melahirkan rasa cinta mereka kepada Bahasa dan terus mengekalkan rasa cinta kepada Bahasa itu," tambah Cik Rahayu.

KELUARGA DAN PERSEKITARAN PENTING DALAM PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU

Menurut Cik Rahayu, pemilihan duta bahasa tahun ini berdasarkan tiga ciri - penguasaan, minat terhadap Bahasa Melayu dan juga sumbangan mereka kepada masyarakat.

Cik Marina Yusoff, 45 tahun misalnya memang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu setempat. Sepanjang penglibatannya di persada seni, personaliti serba boleh itu sudah menjayakan lebih daripada 50 program televisyen termasuk drama dan rancangan bual bicara.

Beliau juga telah mengarahkan lebih daripada 20 pementasan teater muzikal dan tarian termasuk Muzikal Towkay Wayang, Muzikal Fantasia Dunia, 6 Penjuru, Magika Pak Pandir, dan 9 Rangkaian Tarian Melayu.

(Gambar: Marina Yusoff)

(Gambar: Marina Yusoff)

Sebagai seorang pejuang tarian Melayu, Cik Marina turut pernah mewakili Singapura dalam lebih 40 acara antarabangsa dan festival seni.

Ibu kepada empat orang cahaya mata itu kini memegang peranan sebagai Pengarah Kreatif di Sri Warisan Som Said Performing Arts Ltd.

Menariknya, sebelum ini anaknya Noshin Putri Adel juga dilantik sebagai Duta Bahasa bagi kempen tahun 2011.

(Gambar: Marina Yusoff)

(Gambar: Marina Yusoff)

Bagi Cik Rahayu, beliau melihat ini sebagai satu kesinambungan yang baik bagi mewujudkan keluarga contoh yang dapat memberi motivasi kepada ibu bapa di luar sana. Ini agar mereka tahu cara-cara dan tips-tips untuk mengajar dan memupuk rasa cinta kepada Bahasa Melayu pada diri anak mereka.

(Gambar: Marina Yusoff)

Selain kegiatan seni, Cik Marina kini juga sibuk menghasilkan siri audio siar atau podcast bersama abangnya, Ustaz Yusri Yusoff bertajuk Warna Warni Kehidupan.

Antara isu yang dibincangkan dalam siri berkenaan termasuk hal-hal rumahtangga dan kekeluargaan dalam masyarakat Melayu.

Sebagai seorang duta, harapan Marina adalah untuk terus memperjuangkan dan menyampaikan betapa pentingnya sesebuah unit keluarga itu dan persekitaran dalam menyokong pembelajaran dan perkembangan anak-anak dalam bahasa Melayu.

"Harapan saya pastinya sangat besar kerana saya juga seorang ibu jadi saya mengajak ibu bapa di luar sana untuk memupuk jati diri anak-anak kita dengan kecintaan kepada Bahasa Melayu melalui peradaban, kesantunan Bahasa Melayu ini yang sangat indah kerana saya tahu walaupun Bahasa Melayu itu memang ada dalam jiwa kita tapi sebenarnya kita perlu pupuk rasa cinta itu sesuai dengan tema Bulan Bahasa," kata Cik Marina.

'SOULTARI' SELITKAN PERIBAHASA DALAM TARIAN

Seorang lagi tokoh seni tarian Melayu tempatan yang dilantik sebagai Duta Bahasa kali ini adalah Dr Noramin Farid, 35 tahun atau lebih dikenali dengan gelaran Soultari Amin Farid.

(Gambar; Dr Noramin Farid)

(Gambar: Dr Noramin Farid)

Beliau baru-baru ini meraih sarjana kedoktoran (PhD) dalam Pengajian Teater, Drama dan Tari daripada Royal Holloway, Universiti London, UK.

"Sebenarnya sebelum saya mempromosikan tarian Melayu di UK, sebelum ini kalau mengikut sejarah memang sudah ada kumpulan yang lain yang telah mempamerkan tarian Melayu dan kesenian Melayu di peringkat antarabangsa tapi apa yang saya mengharapkan kerana saya pun seorang pengamal dan juga seorang yang membuat kajian tentang seni, kita dapat mendalami dan memperhalusi seni dan untuk mengetahui bahawa seni itu juga adalah produk sosio budaya dan sejarah,"kata Dr Noramin.

(Gambar: Dr Noramin Farid)

(Gambar: Dr Noramin Farid)

Sepanjang kerjayanya hampir dua dekad pereka tarian Melayu, pendidik seni dan pengkaji itu juga pernah menerima beberapa pengiktirafan bagi penglibatannya dalam dunia seni tarian.

Senarai pencapaian Soultari:
- Anugerah Belia ASEAN-India 2018
- Anugerah Belia Singapura 2017
- Biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan 2017
- Anugerah Belia Harapan Mendaki Goh Chok 2016

(Gambar: Dr Noramin Farid)

(Gambar: Dr Noramin Farid)

Sepanjang bergelar anak seni, beliau sentiasa memegang prinsip bahawa penggiat muda harus menerajui penghasilan karya seni yang inovatif, kritikal dan berkaitan dengan landskap yang berubah-ubah.

Justeru itu, beliau sendiri sering menggunakan peribahasa Melayu untuk menonjolkan kaitan antara budaya, seni dan bahasa dalam pendidikan tariannya.

Dr Noramin kini merupakan Pengarah Artistik Bersama di Bhumi Collective iaitu sebuah syarikat pelbagai disiplin dan seni persembahan yang diasaskan bersama sejak 2016. Beliau juga Pengasas Bersama dan Presiden, Dian Dancers sebuah pertubuhan tanpa untung yang ditubuhkan pada 2003.

Awal tahun ini juga, beliau menjadi pensyarah adjung (adjunct lecturer) di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) untuk mengajar seni persembahan Asia Tenggara.

Dengan tanggungjawab yang digalas sebagai duta, beliau bercita-cita untuk menunjukkan bagaimana seni Melayu berkaitan dengan bahasa dan budaya Melayu secara intrinsik.

Di samping itu, Dr Noramin juga ingin menggalak generasi muda khususnya golongan belia untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dan menyelidik bahasa Melayu dengan sepenuhnya.

DARI PENYANYI KEPADA PENDIDIK ANAK MUDA

Pernah menjadi seorang penyanyi, pelakon, penulis lagu, penulis skrip dan kini seorang pendidik.

Perjalanan kerjaya Hyrul Anuar sudah banyak berkembang sejak menjuarai pertandingan nyanyian Anugerah pada tahun 2005.

Beliau juga pernah menjadi penyelidik dan penulis skrip untuk beberapa rancangan-rancangan Melayu tempatan seperti Elit Suria, Pusingan Akhir Bahas 4PM, Suria Elektra, Sabotaj dan Pesta Perdana.

Berkat cintanya terhadap bidang seni dan pendidikan, Hyrul berjaya menggabungkan kedua-dua minatnya itu dalam penubuhan syarikat HYR Ground pada 2019 yang menawarkan program-program pengayaan untuk kanak-kanak. Antara program yang ditawarkan termasuklah bengkel menulis, drama dan pertuturan.

(Gambar: Hyrul Anuar)

(Gambar: Hyrul Anuar)

"Kami (Hyrul dan teman-teman) pergi ke sekolah dan menjayakan program-program di mana menggunakan wadah seperti muzik, nyanyian, lakonan, pengacaraan dan sebagainya untuk meningkatkan keyakinan dan juga kesedaran betapa pentingnya Bahasa Melayu ini dan juga untuk membuat mereka lebih yakin untuk bercakap, bertutur dalam Bahasa Melayu sebab saya tahu ramai anak-anak melayu di luar sana yang memang cemerlang dalam bidang seni, nyanyian, senilah khususnya," kata Hyrul.

(Gambar: Hyrul Anuar)

(Gambar: Hyrul Anuar)

Pemuda berusia 35 tahun itu percaya pada keberkesanan menggabungkan hiburan dan pendidikan untuk memupuk penghargaan pada Bahasa Melayu. 

PELBAGAI KEGIATAN MENARIK DI MEDIA SOSIAL

Bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Bahasa, orang ramai diajak mengambil bahagian dalam beberapa kegiatan interaktif buat semua lapisan usia.

Cenderahati eksklusif Bulan Bahasa serta hadiah-hadiah menarik yang lain juga boleh dimenangi sekiranya anda memuat naik gambar bas-bas SBS (Bas nombor 21, 28 dan 39) yang menampilkan motif Bulan Bahasa kepada 'Instagram Story' anda. Pastikan anda sertakan tanda pagar #citacitracintabahasakita dan tautkan 'tag' @bulanbahasa.

Selain itu, 'story filters' mengandungi ikon dan identiti kreatif khas Bulan Bahasa boleh didapatkan menerusi Facebook (facebook.com/majlisbahasa) dan Instagram (@bulanbahasa). Anda juga boleh menguji kemahiran menerusi satu permainan bahasa.

MASYARAKAT MELAYU KUAT DALAM BERDWIBAHASA

Dalam samping itu, Cik Rahayu turut menyentuh tentang isu kurangnya penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu seperti yang diterbitkan dalam laporan Banci Penduduk 2020.

Beliau berpendapat kedwibahasaan merupakan sesuatu yang harus dipupuk dan penggunaannya perlu digalakkan di rumah.

"Daripada 82.7 peratus kepada 60 peratus, dan ini menunjukkan sedikit penurunan tapi kalau kita tanya mereka yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang 39 peratus itu, 93 peratus daripada mereka mengatakan yang mereka menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Dan ini menunjukkan kekuatan kedwibahasaan dalam masyarakat kita," kata Cik Rahayu.

Cik Rahayu turut berharap kedwibahasaan dapat dilihat sebagai satu kelaziman dan lebih banyak peluang disediakan untuk menggalak penggunaan Bahasa Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan