2LT Ashruff Muhammed Ibrahim dianugerah Pedang Kehormat SAF
Leftenan Muda (2LT) Ashruff Muhammed Ibrahim dinobatkan sebagai antara lima pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang menerima Pedang Kehormat - kepujian tertinggi bagi kadet paling cemerlang dalam setiap kohort.
2LT Ashruff Muhammed Ibrahim menerima Pedang Kehormat (Gambar-gambar: MINDEF)
SINGAPURA: Leftenan Muda (2LT) Ashruff Muhammed Ibrahim dinobatkan sebagai antara lima pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang menerima Pedang Kehormat - kepujian tertinggi bagi kadet paling cemerlang dalam setiap kohort.
Pengiktirafan tersebut disampaikan Menteri Negara Kanan Pertahanan, Dr Mohamad Maliki Osman, semasa satu majlis pentauliahan di Institut Ketenteraan SAFTI, Sabtu lalu (15 Sep).
Kesemuanya seramai 250 anggota kadet menerima pentauliahan masing-masing sebagai pegawai SAF dalam acara Perbarisan Tamat Latihan itu.
2LT ASHRUFF: 'SATU TANGGUNGJAWAB, BUKAN SETAKAT SATU KEHORMATAN'
Sedang kebanyakan orang meluangkan Ramadan lalu bersama keluarga, 2LT Ashruff menghabiskan hampir sepertiga Ramadan lalu di tengah-tengah hutan di Brunei Darussalam bagi latihan 'Jungle Confidence Course' (JCC).
Latihan sembilan hari yang mencabar itu antara kenangan yang tidak dapat dilupakan 2LT Ahsruff sepanjang perjalanan beliau menempuhi Perkhidmatan Negara (NS) sejauh ini.
"Di akhir satu misi di Brunei, hanya beberapa kadet yang diisytiharkan 'masih hidup'. Ini menunjukkan kepada saya betapa seriusnya latihan yang kami lalui. Walaupun ia hanya simulasi, kami perlu berlatih seperti situasi benar kerana apabila situasi sebenar berlaku, ia akan membawa implikasi," kongsi 2LT Ahsruff, 21 tahun.
Anak kedua daripada tiga beradik itu menukil keluarga sebagai salah satu faktor pendorong baginya untuk mengharungi kesukaran semasa NS.
2LT Ashruff Muhammed Ibrahim (Gambar-gambar: MINDEF)
Ditanya BERITAmediacorp tentang perasaannya menerima pengiktirafan Pedang Kehormat, dengan rendah hati 2LT Ashruff menjawab: "Ia bukan setakat penghormatan, tetapi sebenarnya satu tanggungjawab."
"Sama ada menerima Pedang Kehormat ataupun tidak, sikap seorang pegawai seharusnya sama. Setiap anggota yang dipimpin adalah seorang anak, maka itu para pegawai bukan sahaja perlu menjadi pemimpin dari segi misi dan aktiviti latihan. Sebaliknya, mereka bertanggungjawab untuk membantu seberapa boleh sebarang masalah yang dihadapi askar yang dipimpin," terang beliau lagi.
Seorang lulusan jurusan perniagaan antarabangsa dari Politeknik Ngee Ann, beliau akan melanjutkan pendidikan ke Universiti Nasional Singapura (NUS) selepas tamat NS nanti.
2LT MUHAMMAD ZUL AZMIL: WAKILI S'PURA DI INDIA
Juga mendapat pentauliahan untuk menjadi pegawai SAF di upacara yang sama adalah rakan platun 2LT Ahsruff, iaitu 2LT Muhammad Zul Azmil Samat.
2LT Muhammad Zul Azmil (kanan)
Bagi 2LT Muhammad Zul Azmil, kemuncak perjalanan NS beliau setakat ini adalah apabila di hujung latihan Sekolah Pegawai Kadet (OCS), beliau menjadi seorang daripada dua kadet yang dipilih daripada kohortnya untuk menghadiri latihan bersama Akademi Ketenteraan India (IMA) di India.
"Ia satu pengalaman yang amat membuka minda. Saya dapat meneliti perbezaan latihan dan budaya antara kedua-dua angkatan tentera. Meskipun amat mencabar untuk menyesuaikan diri dalam tempoh yang singkat, rakan-rakan dari IMA membantu dan memberi dorongan," katanya.
Bagi graduan Politeknik Republik itu, pengalamannya mendorong beliau untuk terus pertahankan ibu pertiwi sebagai seorang pegawai sepenuh masa (regular) di SAF.
"OCS mendedahkan saya kepada pelbagai pengalaman yang menunjukkan kepentingan Perkhidmatan Negara. Pengalaman di IMA menekankan pentingnya ada tentera kerahan untuk melindungi kita dan bersedia untuk menangani pelbagai situasi," kongsi 2LT Muhammad Zul Azmil.
"Jadi saya pun terfikir, mengapa tidak menjadi sebahagian daripada angkatan pertahanan sepanjang hayat dan bukan setakat dua tahun?"
2LT Muhammad Syafiq Abdul Rashid bersama bapanya.
SAF TERUS BERSEDIA TANGANI ANCAMAN BERUBAH-RUBAH
Antara kadet-kadet lain yang turut ditauliahkan menjadi pegawai SAF ialah 2LT Indra Shafiq Abdul Razak dan 2LT Muhammad Syafiq Abdul Rashid.
Dalam ucapannya selaku tetamu kehormat upacara pentauliahan itu, Dr Mohamad Maliki mengingatkan para pegawai muda tentang peranan penting SAF dalam pertahanan Singapura menentang pelbagai ancaman yang semakin berubah-rubah seperti pengganasan.
Pegawai Kedua (2IC) Perbarisan Tamat Latihan 110/17 2LT Indra Shafiq Abdul Razak
"SAF amat peka terhadap ancaman keselamatan ini terhadap Singapura dan akan terus menajamkan keupayaan dalam operasi urban, pertingkatkan kebolehan dalam operasi pertahanan dalam negara serta bekerja rapat dengan Home Team dalam operasi-operasi bersama," kata Dr Maliki.
Perbarisan Tamat Latihan itu menandakan tamatnya latihan selama 38 minggu yang dijalani para kadet, sebelum menggalas tanggungjawab sebagai pegawai dan dikerah untuk berkhidmat dalam pelbagai unit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.