Skip to main content

Singapura

290 orang tiada tempat tinggal dan melarat dibantu setiap tahun dari 2016 hingga 2018

Sekitar 290 orang yang tiada tempat berteduh atau hidup melarat di Singapura menerima bantuan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) setiap tahun secara purata, antara 2016 hingga 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
290 orang tiada tempat tinggal dan melarat dibantu setiap tahun dari 2016 hingga 2018

MSF bekerjasama dengan pemerintah dan agensi-agensi masyarakat dan khidmat sosial bagi membantu keluarga yang kehilangan tempat berteduh.

Diterbitkan : 09 May 2019 03:40PM Dikemas Kini : 09 May 2019 03:43PM

SINGAPURA: Sekitar 290 orang yang tiada tempat berteduh atau hidup melarat di Singapura menerima bantuan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) setiap tahun secara purata, antara 2016 hingga 2018.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee mendedahkan perangkaan itu pada Rabu (8 Mei) dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen Dilantik, Anthea Ong.

Beliau bertanya mengenai jumlah orang yang tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa tidur di jalanan pada 2016, 2017 dan 2018. Beliau juga bertanya mengenai sebab-sebabnya dan jumlah tempat berteduh untuk mereka di Singapura.

"MSF sedang bekerjasama rapat dengan pemerintah dan agensi-agensi masyarakat seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta agensi-agensi khidmat sosial bagi membantu keluarga-keluarga yang tiada tempat berteduh dan para individu yang memerlukan," kata Encik Lee.

"Sebahagian daripada mereka menjual flat mereka kerana dibebani hutang atau akibat penceraian sebelum mereka kehilangan tempat berteduh," tambahnya.

"Yang lain pula mungkin mempunyai rumah tetapi tidak dapat pulang ke kediaman mereka atas pelbagai sebab seperti konflik dengan ahli keluarga ataupun penyewa lain.

"Selain itu, terdapat juga individu yang tidak dapat bekerja dan maka itu, tidak mempunyai sokongan."

PUSAT BERTEDUH DAN RUMAH KEBAJIKAN

Encik Lee berkata buat masa ini, terdapat empat Tempat Berteduh Krisis yang dibiayai MSF di Singapura. Keempat-empat tempat berteduh itu membantu menangani purata 190 kes bantuan keganasan keluarga setiap tahun dari 2016 hingga 2018.

Tempat-tempat berteduh itu adalah untuk mereka yang tiada tempat tinggal kerana mengalami keganasan keluarga dan memerlukan tempat selamat, terlindung daripada penderaan.

Para kakitangan khidmat sosial akan membantu mereka menangani isu keselamatan mereka serta memberi mereka khidmat kaunseling dan khidmat-khidmat lain.

Tempat Berteduh Peralihan yang dibiayai oleh MSF pula adalah bagi para keluarga dan individu yang memiliki rumah tetapi tidak dapat pulang ke kediaman mereka atas pelbagai sebab, kata Encik Lee.

Ketiga-tiga pusat itu menyediakan penginapan sementara, manakala para kakitangan khidmat sosial pula membantu mereka yang memerlukan untuk menangani sebarang isu sosial dan mendapatkan aturan perumahan jangka panjang.

Encik Lee juga menjelaskan bahawa terdapat 11 Rumah Kebajikan di Singapura bagi golongan lemah. Rumah-rumah tersebut, menurut beliau, dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan kebajikan sukarela dan dibiayai oleh MSF.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita