Skip to main content

Singapura

29 tangkapan dibuat dalam operasi polis merata negara ke atas 27 premis KTV, 10 wanita dihantar pulang

Polis menjalankan operasi anti-jenayah di merata negara awal minggu ini untuk memeriksa pusat-pusat KTV yang beroperasi sebagai cawangan makanan dan minuman (F&B), menurut pihak berkuasa pada Sabtu (17 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
29 tangkapan dibuat dalam operasi polis merata negara ke atas 27 premis KTV, 10 wanita dihantar pulang

(Petikan skrin: Google Street View)

Diterbitkan : 17 Jul 2021 12:08PM Dikemas Kini : 17 Jul 2021 12:12PM

SINGAPURA: Polis menjalankan operasi anti-jenayah di merata negara awal minggu ini untuk memeriksa pusat-pusat KTV yang beroperasi sebagai cawangan makanan dan minuman (F&B), menurut pihak berkuasa pada Sabtu (17 Jul).

Semasa operasi dari 13 hingga 15 Jul, seramai 281 orang ditemui berada dalam 27 premis KTV dan diperiksa polis.

29 wanita pelbagai kerakyatan berusia antara 20 hingga 47 tahun, kemudian diberkas atas tuduhan melakukan kesalahan di bawah Piagam Wanita, Akta Imigresen, dan Akta Kerja Tenaga Asing.

Menyusuli operasi anti-jenayah pada 13 Julai, polis menyatakan 10 wanita pelbagai kerakyatan yang berusia antara 21 hingga 34 tahun dibatalkan pas lawatan jangka pendek atau pas kerja mereka, dan akan dihantar pulang.

Menurut polis sepuluh wanita itu ditangkap bersama dengan sepuluh wanita lain pada 13 Julai kerana bekerja tanpa pas kerja yang sah atau melanggar syarat pas kerja mereka.

"Mereka bekerja sebagai pelayan sosial di tiga pusat KTV yang beroperasi sebagai cawangan F&B dan bergaul dengan kumpulan pelanggan yang berbeza-beza," jelas polis.

Siasatan menunjukkan bahawa salah seorang wanita itu juga bergaul dengan seorang pelanggan pusat KTV yang serupa yang baru-baru ini ditutup untuk kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman.

Dengan terlibat dalam aktiviti yang dilarang itu, polis berkata mereka secara terang-terangan melanggar langkah pengurusan selamat di bawah Peraturan-Peraturan COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020.

PENDATANG YANG TIDAK DIINGINI: ICA

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyifatkan 10 wanita itu sebagai "pendatang yang tidak diingini" di bawah Akta Imigresen. Pas mereka telah dibatalkan dan tidak lagi boleh berada di Singapura.

"Para pelawat jangka pendek tidak dibenarkan melakukan sebarang pekerjaan, sama ada dibayar atau tidak, di Singapura.

"Setelah dihantar pulang, mereka dilarang memasuki semula Singapura," tambah polis.

Siasatan ke atas lagi sepuluh wanita sedang dijalankan.

Semasa operasi merata negara, polis menyatakan pemeriksaan dilakukan untuk memastikan bahawa pusat-pusat KTV yang "mengubah" operasi sebagai cawangan F&B mematuhi langkah-langkah COVID-19.

Sebelas cawangan didapati mungkin melanggar langkah-langkah tersebut.

Pusat-pusat itu adalah:

  • The Charm (Fook Hai Building)
  • ICON2 (Pusat Beli-Belah Parklane)
  • U Pub (Geylang Road)
  • World Music (Aliwal Street)
  • Ming Chin Imperial Kitchen (Golden Mile Complex)
  • AS CY Bistro (Golden Mile Complex)
  • Saigon (Geylang Road)
  • Classic Hollywood (River Valley Road)
  • James Distribution (Beach Road)
  • Rendezvous Snack (Orchard Tower)
  • True Love (Geylang Road)

Polis menyatakan syarikat yang lesen makanannya ditarik balik oleh Agensi Makanan Singapura mesti menghentikan operasi dengan serta merta.

Tempat-tempat yang dibatalkan Lesen Hiburan Awam atau Lesen Minuman Keras tidak boleh menyediakan hiburan awam atau menjual minuman keras walaupun sektor hiburan malam dibenarkan beroperasi semula, tambah polis.

Mereka yang didapati bersalah melanggar langkah pengurusan selamat COVID-19 boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda tidak melebihi S$10,000, atau kedua-duanya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita