Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

29 siswa timba ilmu bermanfaat, lebih yakin mencarta haluan kerjaya hasil perkongsian karyawan Kelab MENDAKI

"Lengkapi diri anda dengan ilmu mengenai sesuatu ekosistem dengan baik, fahami risiko dan hasilnya semasa membuat perubahan itu, dan rebut peluang tersebut."

Anggaran Waktu Membaca:
29 siswa timba ilmu bermanfaat, lebih yakin mencarta haluan kerjaya hasil perkongsian karyawan Kelab MENDAKI

Antara mentor dan anak didik dalam "Mentoring Circle @ Kelab MENDAKI. (Gambar: Kelab MENDAKI)

SINGAPURA: "Lengkapi diri anda dengan ilmu mengenai sesuatu ekosistem dengan baik, fahami risiko dan hasilnya semasa membuat perubahan itu, dan rebut peluang tersebut."

Demikian antara nasihat Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam kepada 22 mentor dan 29 anak didik mereka dalam mengimbangi risiko kegagalan dan hasrat mencuba peluang baru.

Beliau menyampaikan nasihat tersebut semasa majlis penutup Kumpulan Bimbingan atau "Mentoring Circle" @ Kelab MENDAKI, yang diadakan secara maya pada Sabtu (5 Sep).

(Gambar: Kelab MENDAKI)

Turut hadir semasa majlis penutup online itu ialah AP GRC Ang Mo Kio Nadia Ahmad Samdin.

Majlis tersebut diadakan selepas para mentor dan anak didik mereka, yang terdiri daripada para mahasiswa, menamatkan program keenam dan terakhir mereka secara online, akibat pandemik COVID-19.

ANAK DIDIK SAMBUT BAIK PROGRAM BIMBINGAN

Anak-anak didik dalam kumpulan tersebut menyambut baik program itu.

Malah, mereka kini diberi peluang untuk menjalani latihan amali yang diperolehi menerusi program tersebut dan melaluinya dapat menimba pengalaman daripada rangkaian yang lebih luas.

Mereka terlibat dalam pelbagai kegiatan pembangunan diri dan riadah dalam program bimbingan tersebut dalam tempoh enam bulan.

Antara mentor dan anak didik dalam "Mentoring Circle @ Kelab MENDAKI. (Gambar: Kelab MENDAKI)

(Gambar: Kelab MENDAKI)

Mahasiswa tahun keempat di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam jurusan Politik, Undang-Undang dan Ekonomi, Cik Fara Natasha berkongsi: "Sebelum menyertai program ini, saya tidak pasti bagaimana haluan kerjaya saya dan tidak tahu di mana untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

"Dengan bantuan mentor dan seorang rakan yang mengambil masa untuk memahami minat dan kekuatan saya, saya kini lebih yakin dengan kebolehan saya dan pilihan yang tersedia bagi saya."

Seorang lagi anak didik, siswa tahun pertama di Yale-Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan sains komputer, Cik Raihana Nabilah memberi pendapat: "Bagi saya, ia mewujudkan peluang, di mana saya boleh bergaul dan berhubung dengan lebih ramai individu yang bersependapat.

"Kami juga boleh membuat kawan dengan mereka dari universiti lain yang berdepan dengan perkara yang sama."

PETUA MENTOR

Salah seorang daripada mentor bagi kumpulan tersebut ialah Pengurus Akaun BBH APAC, Encik Abbas Zafar.

"Tiga perkara: Pertama ialah hubungan yang anda jalinkan, yang sangat berharga, sama ada ia melalui anak didik atau mentor yang kini dalam haluan hidup dan kerjaya berbeza. Kedua ialah penghargaan semula kepada pembelajaran boleh datang dari mana-mana sahaja. Dan saya banyak pelajari daripada mentor lain dan saya percaya anak-anak didik juga belajar daripada kami.

"Perkara ketiga ialah sentiasa buka pilihan anda. Program ini benar-benar membolehkan kami berbuat demikian. Buka pilihan anda, buka minda anda, anda tidak akan tahu ke mana haluan masa depan anda," kongsi beliau.

Antara mentor lain yang turut serta ialah Pembangun Usaha Sama EDB, Marc Raphael; Pengurus Program Amazon, Sylvia Look dan Karyawan Pelaburan Alvarium, Benjamin Wong.

INGIN SAKSIKAN LEBIH BANYAK PENDEDAHAN KEPADA PELUANG KERJAYA

Turut menekankan bahawa gred cemerlang bukanlah penentu kejayaan seseorang, Cik Rahayu Mahzam juga menggalak para anak didik supaya mencari kekuatan masing-masing, merebut peluang dan mengatasi cabarannya selain melakukan yang terbaik dalam usaha tersebut.

"Wawasannya adalah untuk benar-benar menyaksikan lebih banyak pendedahan kepada peluang-peluang kerjaya dan melihat pilihan luas yang berpotensi bagi mereka dan mendapat sokongan bagi tujuan itu, dan juga mendampingi masyarakat bagi peluang untuk memberi balik kepada masyarakat," kata Cik Rahayu.

Kumpulan Bimbingan atau "Mentoring Circle" @ Kelab MENDAKI adalah program bimbingan perintis yang bertujuan menghubungkan para karyawan kerjaya dengan mahasiswa Melayu/Islam.

Menyasarkan tiga sektor kerja utama iaitu perniagaan, teknologi dan pemerintah, program bimbingan tersebut berhasrat membantu perkembangan peribadi dan haluan kerjaya mahasiswa muda dalam program tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan