29 kucing dirampas daripada pembiak haram di S'pura
SINGAPURA: Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) merampas sebanyak 29 ekor kucing daripada seorang pembiak haram.
Demikian menurut Lembaga Taman Negara (NParks) hari ini (13 Jan).
Berdasarkan maklumat daripada orang awam pada 6 Januari tentang pembiakan tanpa lesen dan penjualan kucing, pasukan penyiasat daripada AVS, yang juga sebahagian daripada NParks, merampas haiwan-haiwan itu tiga hari kemudian.
Seorang wanita berusia 58 tahun sedang membantu siasatan AVS.
"Semasa operasi pada 9 Januari, kakitangan AVS memeriksa premis kediaman wanita, yang dipercayai digunakan untuk membiak dan menjual kucing," menurut NParks dalam satu kenyataan media hari ini.
"Kucing-kucing itu dirampas, termasuk 14 kucing betina, 10 kucing jantan dan 5 anak kucing.
"Seekor kucing bunting, seekor lagi kucing yang masih menyusu serta anak-anaknya dihantarkan ke klinik haiwan untuk dipantau, manakala kucing-kucing yang lain sekarang di bawah jagaan AVS di Pusat Pengurusan Haiwan, di mana ia sudah dinilai doktor-doktor haiwan AVS sebagai berada dalam keadaan yang baik."
NParks menasihati orang ramai supaya membeli haiwan peliharaan daripada kedai-kedai haiwan berlesen, yang mendapatkan haiwan-haiwan tersebut daripada sumber-sumber yang dikawal dan menyimpan rekod bagi setiap haiwan yang disimpan di premis mereka.
"Bakal pemilik haiwan peliharaan tidak harus membeli daripada sumber-sumber yang tidak diketahui, termasuk yang berada di wadah-wadah online, kerana keadaan kesihatan haiwan-haiwan ini tidak diketahui dan mungkin membawa penyakit," menurut NParks lagi.
"Haiwan-haiwan tersebut boleh diseludup dan/atau tidak dibiak mengikut taraf kesihatan dan jagaan yang dikuatkuasakan AVS terhadap pembiak berlesen dan kedai-kedai haiwan peliharaan."
Di bawah Akta Haiwan dan Burung, mereka yang disabit kesalahan menyimpan haiwan dalam kurungan untuk dijual tanpa lesen boleh didenda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang menggunakan premis-premis sebagai ladang tanpa lesen boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.