Skip to main content

Singapura

2.9 juta rakyat SG akan dapat wang tunai antara S$200 hingga S$600 pada Dis

Anggaran Waktu Membaca:
 2.9 juta rakyat SG akan dapat wang tunai antara S$200 hingga S$600 pada Dis

(Gambar fail: CNA/Grace Yeoh)

Diterbitkan : 14 Nov 2024 02:02PM Dikemas Kini : 14 Nov 2024 02:19PM
SINGAPURA: Sekitar 2.9 juta rakyat Singapura berusia 21 tahun ke atas pada 2025 akan menerima wang tunai antara S$200 hingga S$600 pada Disember tahun ini.

Bayaran tunai sekali sahaja ini diagihkan di bawah Pakej Jaminan, yang bertujuan untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup terhadap isi rumah warga Singapura dan menyediakan lebih banyak sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Pakej itu dipertingkatkan lagi dengan S$1.9 bilion ditokok pada Belanjawan 2024.

“Pada Disember 2024, warga dewasa Singapura yang layak akan menerima pelbagai faedah daripada pemerintah untuk meringankan tekanan kos sara hidup, mengimbangi kos jagaan kesihatan dan mengukuhkan simpanan mereka untuk persaraan,” menurut Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan ( MOH ) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataan bersama pada Khamis (14 Nov).

Selain agihan tunai itu, kira-kira 1.4 juta rakyat Singapura yang lahir antara 1974 dan 2003 akan menerima tokokan MediSave sekali sahaja antara S$300 hingga S$500 pada Dis ini.

Di bawah Pakej Majulah - Bonus MediSave, sekitar 1.6 juta rakyat Singapura yang lahir pada tahun 1973 atau lebih awal akan menerima tokokan MediSave sekali sahaja sebanyak S$1,250 atau S$2,000 pada bulan Disember.

"Tokokan MediSave ini telah dipertingkatkan pada Oktober 2024 sebagai sebahagian daripada sokongan tambahan pemerintah untuk mengimbangi kenaikan premium MediShield Hayat, di samping peningkatan seterusnya pada MediShield Hayat," menurut kementerian-kementerian itu.

"Secara kolektif, ia akan memberikan sokongan untuk menampung kos jagaan kesihatan bagi sekitar 3 juta rakyat Singapura."

Sebagai sebahagian daripada Pakej Majulah, sekitar 800,000 warga Singapura yang layak, yang dilahirkan pada tahun 1973 atau lebih awal akan menerima Bonus Simpanan Persaraan sekali sahaja sebanyak S$1,000 atau S$1,500 dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka, bergantung kepada jumlah simpanan persaraan pencarum CPF.

Penerima yang layak akan mendapat bayaran tersebut secara automatik mulai Disember, bergantung kepada cara mereka menerima pembayaran.

Rakyat Singapura boleh memeriksa kelayakan mereka melalui laman web govbenefits dengan log masuk menggunakan Singpass mereka.

Mereka akan dimaklumkan melalui SMS selepas pembayaran atau tokokan dibuat ke dalam akaun mereka. Sesiapa yang tidak mendaftar untuk Singpass menggunakan nombor telefon bimbit mereka akan dimaklumkan melalui pos.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita